Abstract
Sesuatu pengkajian semestinya diiringi dengan tujuan yang tepat. Begitu juga halnya dengan Penghasilan tesis yang bertajuk " Penggunaan Motif Sulur Bayung Sebagai Perhiasan Pada Kraftradisi " ini. Kajian ini ditumpukan secara am terhadap peranan motif sulur bayung dari aspek sejarah, pengaruh, pembentukan motif dan kegunaannya. Kraftradisi telah menjadi scbahagian perkara penting dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu tradisional dan ianya merupakan pusaka bangsa yang amat bernilai dan harus dipertahankan serta dipclihara oleh generasi masa kini. Motif sulur bayung ataupun juga dikenali sebaga sulur bakung terdapat pada beraneka karya seni rupa Melayu dua dimensi seperti hiasan garis pada permukaan dan objek yang berbentuk tiga dimensi seperti tangkai senduk atau pada bangunan. Penggunaan sulur bayung sebagai motif menjadikannya sebagai unsur tampak yang menghubungkan aneka hasil manifestasi jiwa kreatif seniman Melayu. Sulur bayung adalah menyerupai tumbuh-tumbuhan. lanya adalah daripada pengaruh Sumatera kemudian di bawa pengaruhnya ke Tanah Melayu yang dimulakan oleh orang-orang Minangkabau. Gerak garisnya berpunca dari pangkal melalui dua bentuk yang berbalas gerak, berbalik ke dalam bakuk dan melentik ke luar ceding menunjukkan kemungkinan alunan yang hidup.apabila digunakan sebagai hiasan dua dimensi, ia menjangkitkan gerak tenaga kepada bentuk yang lain, yang menerima dan membalasnya bukan sahaja antara satu sama lain, tetapi motif sulur bayung itu sendiri terdapat tenaga tampak yang terkandung di dalam ruang-ruang daun kelopak kecil yang menghasilkan getaran rupa. Sulur bayung yang terdapat pada hujung bahagian objek seolah-olah tumbuh daripada objek itu, meneruskan rupa melalui bentuk dan garis, seperti yang terdapat pada hujung senduk atau hujung tenggala. Walaupun tidak mempunyai fungsi utama, tetapi pada dasarnya nilai estetika yang terkandung padanya adalah amat penting.Bentuk hasilan atau gubahan sulur bayung yang merupakan simbolik di dalam masyarakat menggambarkan jiwa penciptanya yang mana hasil kraf tradisi Melayu mempunyai implikasi mistik yang menghubungkan sanubari, tampak, masa dan realiti. Maka penciptanya mengilhamkan karya mengikut idea-idea yang di ambil dari alam semulajadi seperti unsur tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Masa akan menentukan betapa setiap yang tua dan lama akan beredar dan dilupakan. Begitu juga dengan motif sulur bayung yang terdapat pada kebanyakan kraftradisi Melayu. Ciri-ciri keindahan yang terdapat pada hasil seni ini haruslah dikekalkan kerana ianya dapat menyampaikan mesej-mesej yang tertentu dan tersendiri kepada generasi kini dan akan datang. Atas kesedaran dan tanggungjawab itulah pengkajian ini dibuat untuk mengkaji tentang motif sulur bayung,. sejarah, keistimewaan serta falsafah yang terkandung di dalamnya selain daripada membuktikan bahawa masyarakat Melayu kaya dengan hasil seni.
Metadata
Item Type: | Thesis (Degree) |
---|---|
Creators: | Creators Email / ID Num. Mohammad, Suryia @ Suraya 97185965 |
Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Thesis advisor Ahmad, Wan UNSPECIFIED |
Subjects: | N Fine Arts > NK Decorative arts > Arts and crafts movement N Fine Arts > NK Decorative arts > Other arts and art industries > Woodwork N Fine Arts > NX Arts in general > History of the arts |
Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Kelantan > Machang Campus > Faculty of Art and Design |
Programme: | Ijazah Sarjana Muda Senireka Logam Halus |
Keywords: | Sulur Bayung, seni rupa Melayu, kraf tradisi melayu, Minangkabau |
Date: | 2001 |
URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/66521 |
Download
66521.pdf
Download (1MB)