Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti hubungan signifikan antara penggunaan Strategi Pembelajaran Bahasa (SPB) dan pencapaian pelajar dalam proses pembelajaran Bahasa Mandarin sebagai Bahasa Ketiga. Kajian ini merupakan kajian kuantitatif yang melibatkan 145 orang responden dari sebuah universiti awam. Responden kajian yang dipilih adalah pelajar yang mempelajari kursus bahasa Mandarin Tahap Satu. Data kajian dikumpul melalui soal selidik atas talian yang diklasifikasikan berdasarkan taksonomi Oxford (1990) dan ujian bertulis Bahasa Mandarin. Ujian ANOVA dijalankan bagi menguji hubungan signifikan antara penggunaan SPB dan pencapaian pelajar. Diharapkan kajian ini dapat membantu para pelajar dan pihak berkenaan untuk meningkatkan prestasi pelajar bukan penutur asli dengan memaparkan SPB yang paling kerap dan berkesan yang digunakan oleh pelajar cemerlang dalam proses pembelajaran Bahasa Mandarin sebagai Bahasa Ketiga.