Isu kemiskinan haid bukan sahaja merangkumi keterbatasan akses terhadap produk kebersihan diri dan kemudahan sanitasi, malah turut melibatkan dimensi pendidikan apabila ketiadaan pendidikan haid yang komprehensif, sistematik dan berasaskan nilai Islam dalam sistem persekolahan. Semakan terhadap Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Islam (Semakan 2017) menunjukkan bahawa topik berkaitan haid, istihadah dan nifas masih dibincangkan secara terhad serta tidak disusun secara berperingkat mengikut tahap perkembangan murid. Keadaan ini mewujudkan jurang kefahaman dalam kalangan murid perempuan Muslim berkaitan hukum, pengurusan kebersihan diri dan adab ketika haid. Selain itu, rujukan fiqh Mazhab Syafi’i yang menjadi asas kepada hukum darah wanita lazimnya bersifat teknikal, panjang dan ditulis dalam bahasa Arab klasik, sekali gus menyukarkan pemindahan ilmu tersebut ke dalam konteks pedagogi sekolah rendah. Sehubungan itu, kajian ini dilaksanakan bagi membangunkan sebuah kerangka modul pendidikan haid sebagai bahan suplementari kepada Program Adab dan Nilai (ADNI) di bawah Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor. Objektif kajian ini untuk: (i) mengenal pasti topik khusus pendidikan haid yang terdapat dalam manuskrip fiqh Mazhab Syafi’i; (ii) mengenal pasti elemen utama pendekatan pendidikan haid bagi murid Muslim sekolah rendah berdasarkan pandangan pakar; dan (iii) membangunkan kerangka modul pendidikan haid sebagai bahan suplementari Program Adab dan Nilai (ADNI) di sekolah rendah. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui dua kaedah utama. Pertama, analisis kandungan dijalankan terhadap empat manuskrip fiqh Mazhab Syafi‘i, iaitu Minhāj al-Ṭālibīn, Mughnī al-Muḥtāj, Izālat al-Iltibās dan al-Ibānah wa al-Ifādah, bagi mengenal pasti topik khusus pendidikan haid yang sesuai dengan keperluan murid sekolah rendah. Dapatan analisis manuskrip menunjukkan bahawa keempat-empat kitab tersebut secara konsisten menekankan tiga topik teras fiqh darah wanita, iaitu haid, istihadah dan nifas, sebagai asas utama perbincangan hukum berkaitan wanita. Kedua, temu bual separa berstruktur dijalankan bersama pakar fiqh wanita serta pegawai pelaksana Unit Pembangunan Adab dan Nilai (ADNI), Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, bagi mendapatkan pandangan berkaitan pendekatan pedagogi dan kesesuaian kandungan pendidikan haid di peringkat sekolah rendah. Dapatan temu bual pakar mengenal pasti lima elemen utama pendekatan pendidikan haid berasaskan nilai Islam, iaitu: (a) pengetahuan fiqh asas; (b) kemahiran pengurusan kebersihan diri; (c) normalisasi dan sensitiviti sosial; (d) kebolehcapaian sumber pendidikan; dan (e) peranan pendidikan haid sebagai bahan suplementari kepada kurikulum sedia ada. Berdasarkan integrasi dapatan analisis manuskrip dan temu bual pakar, kajian ini telah menghasilkan sebuah kerangka modul pendidikan haid yang disusun secara berperingkat mengikut tahap perkembangan murid daripada tahun 1 hingga tahun 6, selari dengan aspirasi Program Adab dan Nilai (ADNI) yang menekankan keseimbangan antara ilmu, adab dan nilai Islam. Kerangka modul ini menyumbang kepada pengukuhan pedagogi Pendidikan Islam dengan menyediakan asas pengajaran haid yang sahih, sistematik dan mesra murid. Selain itu, kerangka ini berpotensi digunakan sebagai bahan suplementari yang relevan dalam pelaksanaan Program Adab dan Nilai (ADNI) di sekolah rendah serta menyokong usaha menangani kemiskinan haid berasaskan pendidikan dalam kalangan murid perempuan Muslim di Malaysia.
| Item Type: | Thesis (Masters) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Abdullah @ Abdul Aziz, Nur Fadzlina UNSPECIFIED |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Thesis advisor Tumiran, Mohd Amzari UNSPECIFIED Thesis advisor Opir, Hajar UNSPECIFIED Thesis advisor Md Soh, Noor Syahida UNSPECIFIED |
| Subjects: | H Social Sciences > HQ The family. Marriage. Woman > Children. Child development > Child rearing. Including care, training, character building, etc. L Education > LC Special aspects of education > Islamic education |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Shah Alam > Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS) |
| Programme: | Master in Contemporary Islamic Studies |
| Keywords: | Menstrual poverty, Menstrual education, Shafi'i fiqh, Islamic education, KSSR Pendidikan Islam, ADNI program, Module framework, Primary school, Malaysia |
| Date: | June 2026 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/145128 |
145128_fulltext.pdf
Available under License Dasar Harta Intelek UiTM (Para 6).
declarationform.pdf
Restricted to Repository staff only

