Abstract
Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) menghadapi cabaran hartanah terbiar, tidak produktif serta kekangan dana yang serius, walaupun pelbagai inisiatif telah dipergiatkan hingga ke hari ini. Tambahan lagi, kajian mengenai pemerkasaan penjanaan dana wakaf menerusi kaedah istibdal dan tawriq masih terhad. Kajian ini bertujuan mencadangkan pemerkasaan penjanaan dana wakaf yang produktif melalui penggunaan kaedah istibdal (penggantian) dan tawriq (pencairan). Sebagai sebuah ijtihad yang masih baharu, terdapat kekeliruan antara penggunaan istilah istibdal dan tawriq dalam pembangunan hartanah wakaf di Malaysia. Oleh itu, objektif kajian ini adalah menghuraikan perbezaan konsep istibdal dan tawriq dalam pembangunan hartanah wakaf, menganalisis kaedah yang telah dilaksanakan oleh MAIN dalam aktiviti pembangunan hartanah wakaf dan mencadangkan pemerkasaan penjanaan dana wakaf produktif menggunakan kaedah-kaedah ini. Pendekatan kualitatif dijalankan dengan menggabungkan kajian lapangan dan kajian kepustakaan. Pengumpulan data dibuat melalui temu bual dan analisis dokumen. Persampelan bertujuan dilaksanakan dalam temu bual dan kemudian dianalisis secara tematik untuk mengenai pasti cabaran, penglibatan tawriq, aktiviti penjanaan dana dalam kes-kes istibdal. Dapatan kajian menunjukkan daripada sembilan kes istibdal yang dikaji di Negeri Kedah, enam daripadanya melibatkan tawriq wakaf manakala tiga kes menghasilkan penjanaan dana melalui sewaan dan pelaburan. Di Negeri Pulau Pinang pula, dua daripada empat kes istibdal melibatkan tawriq manakala tiada sebarang penjanaan dana berlaku dalam kes istibdal di negeri tersebut. Bagi mencapai objektif ketiga, sebuah model pemerkasaan penjanaan dana wakaf produktif telah dicadangkan yang terdiri daripada empat fasa utama: pengumpulan dana, pengurusan dana, pengagihan dana dan kelestarian dana. Selain itu terdapat 12 kunci kejayaan utama dalam menjayakan model ini. Model yang dicadangkan merupakan model yang praktikal untuk MAIN dalam menguruskan hartanah wakaf dengan lebih berkesan di samping memastikan penjanaan pendapatan yang lestari dan memenuhi hasrat pewakaf Ia juga menekankan kepentingan amalan pengurusan yang telus dan bertanggungjawab, dapat meningkatkan kepercayaan awam dan menggalakkan penyertaan yang lebih besar dalam aktiviti wakaf. Pemerkasaan dana wakaf melalui penggunaan yang produktif boleh membawa manfaat sosioekonomi yang lebih besar kepada masyarakat, membantu usaha pembasmian kemiskinan dan pembangunan komuniti serta selaras dengan maqasid al-sharï'ah dalam membangunkan hartanah wakaf. Kajian ini menyediakan sumbangan baharu kepada Hteratur pengurusan wakaf dengan mengintegrasikan konsep istibdal dan tawriq ke dalam model komprehensif untuk pemerkasaan penjanaan dana produktif. Ia menawarkan pandangan dan cadangan yang praktikal kepada penggubal dasar, pentadbir wakaf dan ahli akademik yang berminat untuk meningkatkan potensi ekonomi hartanah wakaf.
Metadata
| Item Type: | Thesis (Masters) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Syed Kamil, Syed Muhammad Asyraf UNSPECIFIED |
| Subjects: | B Philosophy. Psychology. Religion > B Philosophy (General) > Islamic philosophy |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Shah Alam > Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS) |
| Programme: | Sarjana Pengajian Islam Kontemporari |
| Keywords: | Penjanaan dana wakaf, Produktif, Istibdal, Tawriq |
| Date: | 2025 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/129185 |
Download
129185.pdf
Download (214kB)
Digital Copy
Physical Copy
ID Number
129185
Indexing
