Abstract
Pada zaman 1960-an, terdapat sebuah projek kerajaan negeri yang dinamakan Projek Ban Merbok. Dahulunya, projek ini dikenali sebagai Program Pamah Kerajaan. Projek ini telah dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Cawangan Kuala Muda, Kedah. Keistimewaan pada projek ini ialah kerana ianya melibatkan tebus guna tanah di kawasan air masin yang merangkumi kawasan seluas 100 km persegi dan melibatkan 56 mukim. Antara kawasan-kawasan yang terlibat ialah Merbok, Sungai Baru dan Bujang. Kawasan tebus guna di Kuala Segantang Garam yang terletak di bawah kawasan Merbok dipantau oleh Penghulu Mukim Bujang. Projek ini dimulakan pada zaman Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabuddin yang ketika itu merupakan Menteri Besar Kedah. Pada asalnya kawasan tanah sebelum aktiviti tebus guna merupakan kawasan paya bakau yang amat luas. Jika dilihat sekilas pandang kawasan ini kelihatan tidak sesuai untuk diterokai atau diduduki. Selain hutan paya bakau yang luas, kawasan ini merupakan kawasan air masin yang jika diteroka untuk tujuan pertanian, akan mengambil masa yang agak lama untuk disesuaikan dengan tanaman. Masa yang agak panjang diperlukan untuk menyesuaikan tanaman dengan tanah tersebut. Walau bagaimanapun, atas sebab desakan untuk meluaskan tanah bagi tujuan pertanian dan juga desakan untuk membantu rakyat yang tidak mempunyai tanah serta rumah, maka inisiatif ini tetap dijalankan bagi memenuhi keperluan rakyat. Projek Ban Merbok ini dijalankan secara berperingkat dimulakan dengan Jilid 1, 2, 3 di Mukim Merbok, Jilid 4 dan 5 di Sungai Baru serta Jilid 6, 7, 8, 9 di Mukim Bujang. Terdapat seperkara lagi yang menarik tentang Projek Ban Merbok ini kerana fasa projek ini (yang disebut jilid) disusun mengikut nombor menaik dari 1, 2, 3, 4, dan 5. Bagaimanapun, untuk jilid seterusnya, Jilid 7 dijalankan dahulu, kemudian barulah Jilid 6, 8, dan 9. Projek ini pada waktu itu dibuka untuk diteroka dan permohonan sebagai peneroka diutamakan kepada semua anak Kedah yang masih belum mepunyai tanah. Oleh itu, ramai pemohon telah datang dari pelbagai pelosok Negeri Kedah untuk menyatakan hasrat mereka bagi memperoleh sebidang tanah bersaiz lebih kurang lima relung yang akan diberi kepada setiap pemohon yang berjaya. Namun demikian, ada juga sesetengah permohonan yang dibuat oleh pemohon dari negeri-negeri utara yang lain. Bagi melayakkan diri mereka, pemohon perlu mengisi borang dan ditemuduga untuk memastikan kesahihan maklumat yang diberi. Setelah melalui prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, maka mereka yang layak telah diberi sebidang tanah untuk dibangunkan sebagai kawasan penempatan dan pertanian. Maka bermulalah hidup mereka sebagai peneroka di Segantang Garam. Memandangkan Tanah Melayu pada masa itu baru enam tahun mengecapi nikmat kemerdekaan, kerajaan pada ketika itu belum mampu untuk menyediakan kemudahan elaun dan peralatan memugar tanah kepada peneroka. Hanya tulang empat kerat menjadi nadi kekuatan mereka untuk terus berusaha.
Metadata
Item Type: | Book Section |
---|---|
Creators: | Creators Email / ID Num. Ibrahim, Syazliyati syazliyati@uitm.edu.my Ahmad@Ahmad Jali, Fathiyah fathiyah@uitm.edu.my Zakaria, Azfahanee azfa292@uitm.edu.my Andin Salamat, Azni Syafena azni_syafena@uitm.edu.my Hasan, Asrol asrol726@uitm.edu.my |
Subjects: | D History General and Old World > DS History of Asia > Southeast Asia > Malaysia. Malay Peninsula. Straits Settlements D History General and Old World > DS History of Asia > Southeast Asia > Malaysia. Malay Peninsula. Straits Settlements > Kedah (Malaysia) |
Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Kedah > Sg Petani Campus |
Page Range: | pp. 42-52 |
Keywords: | Paya, Projek Ban Merbok, tebus guna tanah |
Date: | 2018 |
URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/101231 |