Pentadbiran harta orang Islam secara al-wiṣāyah: satu kajian dari perspektif undang-undang syarak dan aplikasinya di Malaysia / Mohd Sirajuddin Siswadi Putera Mohamed Shith

Mohamed Shith, Mohd Sirajuddin Siswadi Putera (2023) Pentadbiran harta orang Islam secara al-wiṣāyah: satu kajian dari perspektif undang-undang syarak dan aplikasinya di Malaysia / Mohd Sirajuddin Siswadi Putera Mohamed Shith. PhD thesis, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Abstract

Pertambahan dan peningkatan ketara jumlah harta pusaka yang tidak dituntut atau nilai aset beku si mati dari masa ke semasa merupakan isu polemik yang masih berlarutan dalam kalangan penduduk Islam di Malaysia dan ia perlu untuk diketengahkan. Pengabaian terhadap perkara ini berkemungkinan berpunca daripada persepsi dan ketidakfahaman masyarakat Islam terhadap perancangan, pengurusan dan pentadbiran harta si mati terutamanya berkaitan pelantikan wasi atau pentadbir harta menerusi konsep al-wiṣāyah. Keadaan ini telah menyebabkan peranan individu-individu yang berkelayakan, agensi kerajaan dan swasta seperti syarikat-syarikat amanah atau wasi lantikan mahkamah sebagai pemudahcara dalam urusan pentadbiran dan pengurusan harta orang Islam begitu signifikan dan amat diperlukan. Justeru, kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenengahkan secara komprehensif konsep al-wiṣāyah menurut Islam secara khusus dan secara umumnya turut membahaskan konsep-konsep yang saling berkaitan dengannya berdasarkan undang-undang, peraturan dan amalan semasa. Kajian ini juga menganalisis pengamalan al-wiṣāyah dalam kalangan pentadbir harta iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Amanah Raya Berhad (ARB) dan As Salihin Trustee Berhad. Melalui pendekatan kualitatif, sebahagian besar daripada kajian ini adalah bersumberkan data primer dan sekunder melalui carian kepustakaan bagi tujuan pengumpulan data. Dengan mengambil tiga agensi seperti yang dinyatakan di atas sebagai unit analisis, sesi temu bual secara separa struktur dan teknik kumpulan sasaran turut digunapakai sebagai instrumen kajian. Seterusnya fasa analisis dan penulisan data menggunapakai metod induktif, deduktif dan komparatif. Signifikannya, kajian ini diyakini mampu untuk mengisi ruang lopong di dalam kajian-kajian berkenaan konsep al-wiṣāyah di Malaysia terutamanya di dalam Bahasa Melayu, sekali gus diharap dapat memberi gambaran yang jelas tentang konsep al-wiṣāyah serta sejauh mana aplikasinya di Malaysia menepati al-maqāṣid al-syar‘iyyah demi kebaikan umat Islam. Tuntasnya, kajian mendapati bahawa konsep al-wiṣāyah dan kepentingannya mula difahami oleh masyarakat Islam dan pengamalannya semakin berkembang dari masa ke semasa khususnya menerusi peranan yang dimainkan oleh pentadbir-pentadbir harta. Sementelah itu, enakmen wasiat yang semakin banyak diwartakan di negeri negeri dilihat sejajar dengan percambahan kesedaran dalam masyarakat dewasa ini. Namun, penggubalan, pewartaan dan keseragaman enakmen ini perlu dilakukan secara holistik di seluruh negara agar urus tadbir berkaitan al-wiṣāyah dapat dilaksana secara lebih sistematik. Sebagai rumusan, kajian ini membicarakan tentang pentadbiran harta orang Islam menerusi instrumen al-wiṣāyah dengan melihat kepada konsepnya dari persepektif syarak dan aplikasinya di Malaysia. Seterusnya mencetuskan saranan saranan kepada masyarakat Islam tentang kepentingan al-wiṣāyah pada masa kini di mana undang-undang Islam mula mengalami era kodifikasi yang sedikit sebanyak bakal mendatangkan kesulitan dalam pengurusan dan pentadbiran harta si mati. Ia turut memberi beberapa saranan dan cadangan kepada institusi agama, individu dan agensi agensi pentadbir harta dan pihak kerajaan cara terbaik dalam memperkasakan aplikasi al-wiṣāyah oleh masyarakat Islam di negara ini atas dasar saling menang (win-win situation) dan patuh Syariah

Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Creators:
Creators
Email / ID Num.
Mohamed Shith, Mohd Sirajuddin Siswadi Putera
2012661522
Contributors:
Contribution
Name
Email / ID Num.
Thesis advisor
Mohamed Adil, Mohamed Azam
UNSPECIFIED
Subjects: H Social Sciences > HB Economic Theory. Demography > Income. Factor shares > Property. General works
K Law > KBP Islamic law. Sharī'ah. Fiqh > Inheritance and succession (Islamic law)
Divisions: Universiti Teknologi MARA, Shah Alam > Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS)
Programme: Doktor Falsafah Pengajian Islam Kontemporari (IC990)
Keywords: Harta, pentadbiran, Islam
Date: 2023
URI: https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/74314
Edit Item
Edit Item

Download

[thumbnail of 74314.pdf] Text
74314.pdf

Download (254kB)

Digital Copy

Digital (fulltext) is available at:

Physical Copy

Physical status and holdings:
Item Status:
On Shelf

ID Number

74314

Indexing

Statistic

Statistic details