Abstract
Tanah lapang memberi banyak keuntungan dari segi ekonomi, kesihatan persekitaran dan kehidupan sosial masyarakat. Tanah lapang memberi perlindungan kepada persekitaran dan menggalakkan kualiti kehidupan melalui hidup bermasyarakat. Walau bagaimanapun, peningkatan penduduk dan urbanisasi yang cepat adalah faktor yang memberi kesan berkurangnya tanah lapang dalam kejiranan. Justeru, perancangan tanah lapang adalah perlu bagi memastikan kecukupannya untuk generasi pada masa sekarang dan akan datang. Dalam kajian ini, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dijadikan sebagai pendekatan perancangan tanah lapang yang efisyen melalui gabungan teknik AHP dan Multicriteria Evaluation (MCE). Ia membantu juru rancang menghasilkan keputusan melalui penilaian yang lebih sistematik. Keperluan tanah lapang dan rekreasi disesuaikan dengan pertambahan penduduk. Hasil kajian dapat membantu juru rancang menyelesaikan masalah kekurangan tanah lapang berdasarkan kepada keperluan penduduk semasa dan akan datang dalam usaha ke arah pembangunan kejiranan mapan.