Abstract
Kepakaran GIS telah diterokai dan sudah diguna pakai secara meluas di dalam bidang berkaitan sains sosial.
Ini berikutan keupayaan GIS menyediakan berbagai fungsi terutamanaya mengintegrasi data ruang dan bukan
ruang untuk menjelaskan sesuatu fenomena ruangan secara lebih jelas. Walaupun bagaimanapun, fungsi GIS
adalah terbatas bagi mengendalikan analisis yang melibatkan struktur nilai seperti tingkah laku manusia,
pencapaian akademik, tahap pencemaran dan sebagainya. Untuk itu, Analisis Keputusan Multi-Kriteria (MultiCriteria Decision Analysis - MDCA) boleh menyediakan fungsi tersebut dan memberikan nilai tambahan kepada fungsi asal GIS. Sehubungan itu, kertas kerja ini akan mencuba mengaplikasi fungsi GIS berasaskan MCDA bagi mengukur kadar potensi setinggan terhadap pencemaran sungai berhampirannya. Sepuluh petempatan setinggan di sepanjang Sungai Tebrau Johor dijadikan sebagai kajian kes. Analisis tersebut melibatkan maklumat ciri-ciri sosioekonomi dan fizikal setinggan yang dikumpulkan melalui kajian tingkah laku (soal selidik). Hasil kajian mendapati petempatan setinggan Tok Siak mempunyai kadar potensi tertinggi menyebabkan pencemaran Sungai Tebrau iaitu dipengaruhi oleh faktor tahap pendidikan penduduk rendah, kelemahan kaedah kumbahan air sisa dan tahap kesedaran/ilmu alam sekitar yang juga rendah. Sebagai kesimpulan, kertas kerja ini merumuskan bahawa pendekatan GIS berasaskan MCDA berupaya menjadi alat
pembuatan keputusan yang signifikan khususnya bagi bidang sains sosial.