Abstract
Sejajar dengan dunia teknologi maklumat (IT) yang kian berkembang pesat, bidang pendidikan tidak terkecuali dari turut dibawa dalam arus perkembangan teknologi ini. Komputer kini telah digunakan oleh kanak-kanak seawal usia 3 tahun untuk tujuan pendidikan. Pembangunan perisian kursus untuk kanak-kanak ini harus menekankan aspek-aspek pendidikan kanak-kanak peringkat awal, kaedah pengajaran dan penyampaian dan mestilah berteraskan kepada pendekatan serta teori pendidikan yang telah diterima umum. Kesemua ini kemudiannya perlu disesuaikan dengan penggunaan komputer dan multimedia sebagai agen penyampai maklumat. Bagi tujuan mengajar membaca, antara perkara yang perlu diambil kira dalam membangunkan perisian kursus ini adalah seperti pendekatan yang akan digunakan untuk mengajar kanak-kanak membaca, kemahiran yang ingin diterapkan (contohnya lisan dan intelektual) serta penggunaan elemen multimedia yang sesuai untuk tahap tersebut. Terdapat pelbagai teori pembelajaran yang begitu popular, antaranya teori Pembelajaran Gagne, Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner, teori yang bersifat konstruktivisme, kognitivisme dan perlakuan serta teori yang dikemukakan oleh seorang ahli falsafah Rusia iaitu Vygotsky. Kertas kerja ini membincangkan mengenai model konsepsi bagi membangunkan perisian kursus multimedia bagi mengajar kanak-kanak pra-sekolah membaca. Model ini mengambil kaedah eklektik yang menggabungkan kedua-dua kaedah pengajaran membaca yang terkenal iaitu kaedah fonik dan seluruh perkataan dan diperkukuhkan dengan kaedah bercerita untuk tujuan menarik minat kanak-kanak yang masih berada di peringkat awal pendidikan. Model ini juga dibangunkan dengan bersandarkan kepada teori Vygotsky yang menekankan kepada interaksi social dalam pendidikan dan memberikan pendidikan kepada kanak-kanak mengikut kemampuan kanak-kanak terbabit. Vygotsky membahagikan kemampuan kanak-kanak kepada zon yang dipanggil ‘Zon Perkembangan Terdekat (ZPD)’. Zon ini bermula dengan tahap terendah yang terdiri dari kemampuan kanak-kanak untuk melaksanakan sesuatu tugas itu dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan. Tahap tertinggi dalam zon ini merupakan tahap di mana kemampuan kanak-kanak dalam melaksanakan sesuatu tugas itu adalah dengan bantuan orang lain, sama ada rakan sebaya atau orang yang lebih dewasa. Melalui pendidikan. tahap pencapaian ini akan meningkat di mana perkara-perkara yang dahulunya hanya boleh dilakukan dengan bantuan orang lain kini mampu dilaksanakan dengan sendirinya. Pendidikan disampaikan melalui perisian kursus ini bertujuan untuk membimbing kanak-kanak untuk mencapai tahap tertinggi dalam zonnya dengan menyediakan modul-modul pengembangan pengetahuan, modul penilaian dan modul pengayaan. Modul pengembangan berperanan untuk memberikan pcndedahan mengenai ilmu atau perkara baru kepada kanak-kanak. Ini diikuti dengan modul penilaian. Modul penilaian akan menilai tahap penguasaan ilmu yang dipelajari oleh kanak-kanak. Penilaian ini juga akan menentukan samada kanak-kanak tersebut telah melepasi zon pertama dan layak berganjak ke zon seterusnya mengikut pendekatan Vygtosky. Setiap modul pengembangan juga akan disusuli dengan modul pengayaan bertujuan untuk mengukuhkan lagi asas pengetahuan yang diperolehi dari modul pengembangan.
Metadata
Item Type: | Conference or Workshop Item (Paper) |
---|---|
Creators: | Creators Email / ID Num. Ismail, Marina UNSPECIFIED Abd Mukti, Norhayati UNSPECIFIED Tengku Sembok, Tengku Mohamed UNSPECIFIED |
Subjects: | L Education > LB Theory and practice of education > Computers in education. Information technology L Education > LB Theory and practice of education > Child study L Education > LB Theory and practice of education > Early childhood education |
Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Pahang > Jengka Campus |
Event Title: | STSS 2004 : Prosiding Seminar Kebangsaan Sains Teknologi & Sains Sosial / Jilid 2 : Sains Sosial |
Event Dates: | 31 Mei – 1 Jun 2004 |
Page Range: | pp. 297-303 |
Keywords: | Pendidikan pra-sekolah, Perisian kursus, Membaca, Multimedia |
Date: | 2004 |
URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/43062 |