Abstract
Masalah kemampuan perumahan seringkali diperdebatkan oleh pembuat dasar perumahan. Perdebatan tentang masalah kemampuan terhadap perumahan bukan sahaja wujud di negara-negara yang sedang membangun, malahan isu ini juga menjadi perhatian utama di negara-negara maju. Kemampuan terhadap perumahan perlu difikirkan kerana rumah merupakan perbelanjaan yang paling besar yang harus diperuntukkan oleh sesebuah keluarga terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah. Oleh kerana bukan semua isirumah
mempunyai kemampuan untuk memiliki rumah, maka penyewaan merupakan alternatif terakhir yang boleh dilakukan oleh isirumah. Sebahagian dari mereka terpaksa bergantung kepada kerajaan untuk menyewa di perumahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan. Maka amat penting bagi pihak pengurusan perumahan
untuk memilih penyewa yang layak menyewa di perumahan awam disebabkan penawaran yang terhad. Justeru, penggunaan kaedah pengukuran kemampuan yang sesuai perlu dilakukan oleh pihak pengurusan perumahan awam. Kaedah pengukuran kemampuan mempunyai banyak manfaat bukan sahaja kepada pembuat polisi malah ia juga membantu isi rumah bagi menentukan kelayakan perumahan yang boleh dimiliki oleh mereka. Pendekatan yang digunakan dalam kajian ini adalah menerusi penyelidikan literatur, semakan borang pemilihan penyewa dan temubual bersama pihak pengurusan perumahan. Data yang diperolehi ini kemudian dianalisis menggunakan keadah analisis isikandungan. Hasil kajian diharapkan dapat membantu pihak pengurusan perumahan awam untuk mengkaji semula dasar pemilihan penyewa yang sedia ada terutamanya
dari aspek pemilihan penyewayang benar-benar layak untuk menduduki perumahan awam.