Abstract
Penyelidikan ini adalah untuk mengenal pasti sama ada terdapat
perbezaan gaya kepemimpinan yang diamalkan oleh guru besar mengikut
gred sekolah berdasarkan persepsi guru. Selain itu, kajian ini juga cuba
untuk meninjau hubungan antara tahap komitmen guru terhadap organisasi
dengan gaya kepemimpinan guru besar. Seramai 270 guru S.J.K. (C)
telah dipilih secara rawak dari daerah Kota Setar, Kedah untuk mengambil
bahagian dalam kajian ini. Alat ukur terjemahan Leadership Behavior
Descriptive Questionnaire (LBDQ) telah digunakan untuk mengukur dua
dimensi gaya kepemimpinan guru besar iaitu dimensi mencetuskan struktur
dan dimensi pertimbangan. Manakala alat ukur Organizational Commitment
Questionnaire (OCQ) pula digunakan untuk mengukur tahap komitmen
guru terhadap organisasi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa
wujud hubungan yang signifikan antara tahap komitmen guru terhadap
organisasi dengan gaya kepemimpinan dimensi pertimbangan guru besar
daripada persepsi guru. Kajian juga mendapati bahawa hanya gaya
kepimpinan guru besar yang berdimensikan pertimbangan mempunyai
hubungan yang signifikan dengan tahap komitmen guru tetapi bersifat
negatif dan lemah.