Kearifan tempatan semakin diiktiraf sebagai aset penting dalam pembangunan komuniti lestari kerana ia membekalkan pengetahuan, nilai dan amalan yang membantu komuniti mengekalkan identiti, mengurus sumber serta menyesuaikan diri dengan perubahan kontemporari. Namun demikian, dalam komuniti pesisir bandar yang berdepan tekanan urbanisasi, perubahan ekonomi dan transformasi budaya, pemeliharaan kearifan tempatan mudah menjadi rapuh apabila penglibatan komuniti tidak berlaku secara bermakna dan berterusan. Sehubungan itu, kajian ini menganalisis bagaimana kearifan tempatan dan penglibatan komuniti menyumbang kepada pembangunan komuniti lestari di Kampung Darau Laut, Kota Kinabalu, Sabah dengan mengaplikasikan Tipologi Pretty (1995). Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berteraskan paradigma interpretivisme dengan reka bentuk kajian kes. Data dikumpul melalui temu bual mendalam, perbincangan kumpulan fokus, pemerhatian lapangan dan analisis bahan sekunder. Dapatan menunjukkan bahawa penglibatan komuniti tidak bersifat seragam, tetapi tersebar pada spektrum penglibatan manipulatif, pasif, konsultatif, fungsian, interaktif dan mobilisasi kendiri yang masih terhad. Walaupun terdapat tekanan urbanisasi, komuniti masih mampu mengekalkan penyertaan aktif melalui musyawarah, kepimpinan tempatan, jaringan sosial, pemindahan pengetahuan antara generasi dan penyesuaian budaya kepada peluang ekonomi semasa. Namun begitu, penglibatan belia didapati belum menyeluruh dan lebih cenderung bersifat selektif, khususnya apabila budaya dihubungkan dengan peluang ekonomi, hospitaliti dan aktiviti komuniti. Kajian ini menunjukkan bahawa kelestarian pembangunan komuniti tidak hanya bergantung pada kewujudan kearifan tempatan, tetapi juga pada kedalaman penyertaan komuniti dalam memelihara, menyesuaikan dan mengaktifkannya sebagai sumber sosial yang hidup.
| Item Type: | Article |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Rashid, Rahmah UNSPECIFIED Abdul Latip, Normah normah.abdullatip@ums.edu.my Sakke, Nordin UNSPECIFIED Johnes, Johan UNSPECIFIED |
| Subjects: | G Geography. Anthropology. Recreation > GN Anthropology > Ethnic groups > Malaysia H Social Sciences > HT Communities. Classes. Races > Urbanization. City and country > Malaysia |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Kelantan > Machang Campus |
| Journal or Publication Title: | i-LEdHS 2026 Conference Proceedings |
| ISSN: | 978-629-93193-0-6 |
| Volume: | 1 |
| Number: | 1 |
| Page Range: | pp. 98-106 |
| Keywords: | Sustainable development, Traditional knowledge, Urbanization |
| Date: | 2026 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/150002 |
150002.pdf
