Kajian ini meneliti penggunaan gaya bahasa Inshā’ Ṭalabī dalam al-Quran, khususnya dalam surah-surah Juzuk 30, serta implikasinya terhadap terjemahan dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman (TPAR). Inshā’ Ṭalabī, yang merangkumi bentuk pertanyaan, suruhan, tegahan, seruan dan harapan, berperanan menyampaikan makna arahan dan mesej retorik yang berkait rapat dengan konteks ayat serta asbāb nuzūl. Walaupun lazimnya dikaitkan dengan partikel tertentu, kajian mendapati makna gaya bahasa ini tidak sentiasa terikat kepada satu bentuk linguistik yang tetap. Kajian ini bertujuan mengenal pasti bentuk Inshā’ Ṭalabī dalam Juzuk 30, menghuraikan unsur semantik yang mempengaruhi terjemahan bentuk tersebut dalam TPAR dan menganalisis proses terjemahan yang digunakan. Data dikumpulkan daripada ayat-ayat terpilih dalam Juzuk 30 dan dianalisis menggunakan pendekatan deskriptif yang merangkumi aspek semantik dan sintaks, di samping merujuk tafsiran muktabar serta prinsip asas terjemahan teks suci. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pemaknaan Inshā’ Ṭalabī banyak dipengaruhi faktor konteks seperti kedudukan partikel, susunan ayat (tartīb al-kalām), dan latar asbāb nuzūl. Dalam TPAR, terjemahan bentuk pertanyaan dan seruan umumnya bersifat literal, manakala bentuk suruhan dan tegahan diterjemah dengan gaya yang lebih ekvifalen bagi mengekalkan mesej normatif ayat. Namun, terdapat variasi yang menunjukkan keperluan kepada penyepaduan pendekatan semantik dan konteks untuk mengelakkan kekaburan makna. Kajian ini menyumbang kepada pemantapan kajian retorik Arab serta memperkukuh kefahaman terhadap hubungan antara bentuk Inshā’ Ṭalabī dan makna tersiratnya. Penemuan ini diharap dapat menyokong usaha pengajaran bahasa Arab dan penghayatan al-Quran dalam konteks Malaysia, selain membuka ruang kepada kajian lanjutan berkaitan gaya bahasa dan terjemahannya.
| Item Type: | Thesis (PhD) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Ab Razak, Ahmad Mubarak 2016258636 |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Advisor Abdul Majid, Muhammad Arsyad UNSPECIFIED |
| Subjects: | B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc > Islam > Qurʼan. Koran B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc > Islam > Qurʼan. Koran > Study and teaching. Qurʼan studies. ʻUlūm al-Qurʼan |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Shah Alam > Academy of Language Studies |
| Programme: | Doctor of Philosophy (Applied Language Studies) |
| Keywords: | Inshā' Ṭalabī's style of language, Inshā' Ṭalabī, Tafsir Leader Ar-Rahman, Translation of the Qur'an |
| Date: | April 2026 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/148919 |
148919_fulltext.pdf
Available under License Dasar Harta Intelek UiTM (Para 6).
declarationform.pdf
Restricted to Repository staff only

