Dalam era perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), satu trend yang semakin popular adalah penggunaan teks ke imej dalam penghasilan visual kreatif. Kebolehan untuk menghasilkan imej realistik berdasarkan arahan teks membawa impak yang signifikan dalam industri kreatif dan secara tidak langsung berkaitan dalam bidang seni reka perindustrian. Teks ke imej merujuk kepada teknik yang melibatkan penggunaan model AI untuk menghasilkan imej berdasarkan arahan teks. Dengan menggunakan algoritma pembelajaran kod yang canggih, sistem ini dapat memahami arahan teks dan menghasilkan imej berdasarkan dengan arahan setiap teks tersebut. Dengan kehadiran pelbagai aplikasi teks ke imej seperti Midjourney, Recraft Ai, Microsoft Bing Image dan Canva Image Creator, pereka boleh mengabungkan pelbagai teks terminologi yang bersesuai untuk mendapatkan visual yang diingini. Contohnya, dengan memberikan arahan yang lebih efektif terutamanya dalam Bahasa Inggeris seperti “Kettle, form inspired by Retro-futuristic design”, sistem teks ke imej akan menghasilkan imej berdasarkan ciri-ciri tersebut. Kelebihan penggunaan teks ke imej dalam reka bentuk perindustrian sangat signifikan. Pertama, ia memberikan kelebihan kepada pereka untuk menggambarkan idea mereka dengan lebih jelas dan realistik. Sebagai contoh, dalam peringkat awal proses reka bentuk, pereka dapat menggunakan teks ke imej untuk membantu mereka dalam memberi konsep visual secara lebih tepat berdasarkan kepada kata kunci yang diberi. Ini membantu pereka menjana dan menerokai pilihan reka bentuk yang sesuai dengan pantas dan berkemungkinan akan melihat visual yang tepat. Oleh itu, pereka dapat menvariasikan reka bentuk dan memperhalusi mengikut kriteria reka bentuk yang diperlukan. Dalam usaha untuk memanfaatkan teknologi dan trend terkini dalam reka bentuk, ianya penting bagi pereka industri untuk terus mengkaji dan mengaplikasikan teks ke imej secara bijak dan kreatif. Dengan memahami kekuatan, kelebihan, dan potensi peningkatan produktiviti yang ditawarkan oleh teknologi ini, pereka industri dapat meneroka keunggulan visual dan menghasilkan reka bentuk yang inovatif dan menarik bagi dunia reka bentuk perindustrian. Contoh penggunaan platform Recraft Ai sebagai model AI dalam mencipta visual berdasarkan teks. Penulis menggunakan produk Pengisar (Kitchen Blender) sebagai medium utama dalam pengolahan idea dan digabungkan dengan elemen stail. Melihat reka bentuk yang dijana oleh perisian AI Teks ke Imej, reka bentuk pengisar di hasilkan dengan lebih menarik bergantung kepada jenis stail yang diberikan. Oleh itu, ianya memberi kelebihan dari sudut penggunaan masa yang lebih cepat dalam memahami elemen bentuk yang bersesuaian dengan stail yang diigini oleh pereka. Walaubagaimanapun, proses rekabentuk dalam penggunaan teks ke imej hanya bersesuai untuk proses awal, dan untuk proses seterusnya, ia akan bergantung kepada kreativiti pereka tersebut dalam memastikan reka bentuk akhir dapat menepati piawaian dalam proses pembuatan dan kos yang terlibat. Secara keseluruhannya, teks ke imej telah membuktikan teknologi ini sebagai satu trend yang memberi manfaat yang besar kepada pereka industri. Dengan mempercepat proses reka bentuk dan memberikan pandangan visual yang jelas, teknologi ini membantu dalam meningkatkan produktiviti dan kreativiti dalam industri reka bentuk. Namun begitu, ia memerlukan kesedaran atas potensi kelemahan dan isu-isu yang berkaitan dengan penggunaan teks ke imej, dan langkah-langkah yang bersesuaian perlu diambil untuk memastikan penggunaan teknologi ini berterusan dengan beretika dan memberikan manfaat yang optimum dalam konteks reka bentuk industri.
| Item Type: | Monograph (Bulletin) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Mohd Amin, Mohd Hamidi Adha hamidiadha@uitm.edu.my |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Advisor Said, Roshima roshima712@uitm.edu.my Chief Editor Abdul Karim, Izza Syahida izzasyahida@uitm.edu.my |
| Subjects: | N Fine Arts > NC Drawing. Design. IIlustration > Study and teaching N Fine Arts > NC Drawing. Design. IIlustration > Technique |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Kedah > Sg Petani Campus > Faculty of Art and Design |
| Journal or Publication Title: | Galeri Seni Merbok UiTM Kedah |
| ISSN: | 2637-028X |
| Keywords: | Teknologi teks ke imej, Penjanaan idea, Visual reka bentuk, Kreativiti, Produktiviti pereka industri |
| Date: | 2023 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/148734 |
148734.pdf
