Seni arca merupakan salah satu bentuk pengucapan seni dan kebiasaannya dalam berfizikal tiga dimensi (3D). Definisi arca berubah mengikut peredaran zaman dan ianya bukan hanya sekadar mengukir dan memodel tetapi di era moden ini lebih terbuka kepada apa jua bentuk yang melibatkan ruang tiga dimensi dengan teknik yang pelbagai seperti kimpalan, cantuman, jahitan, ketukan, lekatan dan sebagainya (Ocvirk 1994). Dalam mentakrif sesuatu arca memungkinkan ianya perlu diapresiasi dari pelbagai sudut persepsi mengikut kadar pengamatan setiap pemerhati. Tiada sempadan dalam menzahirkan karya arca selagi pengkarya tersebut mempunyai paksi diri dan berani dalam menterjemahkan pernyataan seninya mengikut luahan rasa dan niat yang ingin dikongsi agar ‘rasa’ yang dipersembahkan itu sampai ke jiwa penonton. Umum sedia maklum virus ‘Covid-19’ satu ketika dulu adalah merupakan suatu virus yang sangat berbahaya. Kempen dan usaha murni untuk mengekang penularan virus ini ketika itu secara tidak langsung turut menggamit pengkarya-pengkarya seni dunia untuk turut sama memberi sumbangan kesedaran melalui pernyataan seni hasil kupasan nilai dan sisi estetik yang berbeza terhadap struktur Covid-19 yang unik ini. Justeru ianya juga telah memberi inspirasi kepada tugasan pelajar ketika itu untuk turut sama bereksperimentasi dengan mengadaptasi tema ‘Covid- 19’ dalam penghasilan arca. Arca miniatur yang dihasilkan ini secara keseluruhannya berkondisi semi mujarad dengan pengaplikasian media baru sebagai wadah seni. Kaedah eksperimental adalah merupakan satu kaedah keseluruhan tugasan ini bagi mencapai sesuatu objektif dan dapatan yang berbeza. Para pelajar diberi kebebasan dalam menguji potensi bahan yang akan digunakan dan juga mengkaji aspek teknik yang ingin diaplikasi dalam pembuatan arca miniatur ini. Justeru untuk mencapai objektif hasil dapatan yang sempurna, para pelajar diberi panduan khusus agar menerapkan dua kaedah iaitu kaedah kualitatif dan juga kuantitatif. Kaedah kualitatif adalah kaedah yang merujuk sumber maklumat daripada buku, jurnal, internet dan bahan rujukan yang lain. Manakala untuk kaedah kuantitatif pula merupakan kaedah ekperimental iaitu membuat kajian berdasarkan teknik dan bahan yang akan digunakan. Hasil dapatan dari eksperimentasi arca miniatur ini diambil secara rawak beberapa sampel untuk dijadikan post mortem. Rajah 1, 2, 3 dan 4 menunjukkan proses dari lakaran awal sehingga karya akhir. Eksperimentasi dan eksplorasi media dan teknik yang sempurna dari para pelajar dapat dikenalpasti melalui ketelitian pembuatan sehingga mewujudkan kesan dan persepsi yang berbeza dalam mengungkapkan estetika struktur asal bentuk Covid-19. Jelas kelihatan perubahan dari satu fasa ke fasa yang lain sehingga menzahirkan satu arca miniatur berkondisi semi mujarad dan bertemakan Covid-19 yang belum lagi diterokai sebelum ini. Kejayaan para pelajar yang masih amatur mengubah keaslian bentuk Covid-19 kepada bentuk baru memungkinkan potensi yang lebih besar di luar sana sebagai pelapis penggiat seni tanahair suatu ketika nanti jika diberi pendedahan berterusan akan aspek bentuk dan makna seni yang tepat.
| Item Type: | Monograph (Bulletin) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Azizan, Mohd Zamri zamri552@uitm.edu.my |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Advisor Said, Roshima roshima712@uitm.edu.my Chief Editor Mohd Noor, Muhamad Aiman Afiq aimanafiq@uitm.edu.my |
| Subjects: | N Fine Arts > NB Sculpture > Special forms N Fine Arts > NX Arts in general > Contemporary, The, in art |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Kedah > Sg Petani Campus > Faculty of Art and Design |
| Journal or Publication Title: | Galeri Seni Merbok UiTM Kedah |
| ISSN: | 2637-028X |
| Keywords: | Arca miniatur Covid-19, Miniature sculpture, Semi-abstract art, COVID-19 structure interpretation in visual fine arts |
| Date: | 2025 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/148217 |
148217.pdf
