Fakulti Senilukis dan Senireka (FSSR) UiTM Kedah telah menjadi pentas pada satu acara yang unik dan penuh warna warni iaitu Seni Kapur Kaki Lima atau lebih dikenali sebagai Sidewalk Chalk. Melalui program Artspreneur 4.0 Pix ArtProject anjuran Kelab Senireka Industri (IDESM) yang berlangsung pada 13-14 Mei 2025, aktiviti seni kapur kaki lima ini antara salah satu acara yang berjaya menarik perhatian bukan sahaja pelajar daripada bidang seni, malah turut disertai oleh mahasiswa daripada pelbagai kursus lain dan menjadikannya satu pertemuan kreatif yang merentas disiplin. Acara ini berlangsung di laluan pejalan kaki sekitar fakulti, di mana pelbagai lukisan dan ilustrasi berwarna-warni dihasilkan menggunakan kapur khas. Tema yang diangkat menggalakkan para peserta untuk mengekspresikan pandangan, emosi dan imaginasi mereka melalui karya di ruang terbuka, sambil meraikan kepelbagaian bakat yang dimiliki oleh komuniti kampus. Tujuan utama aktiviti Seni Kapur Kaki Lima adalah untuk memberi ruang kepada pelajar mengasah kreativiti mereka di luar kerangka akademik masing-masing. “Kreativiti bukan milik eksklusif pelajar seni sahaja tetapi untuk para pelajar lain juga dari pelbagai jurusan seperti fakulti perniagaan, sains computer dan lain-lain di mana mereka berpeluang mencuba sesuatu yang baharu. Antara hasil karya yang dipamerkan termasuklah ilustrasi bertema alam sekitar, mesej motivasi, corak abstrak, dan juga lukisan kartun. Keunikan setiap hasil menggambarkan latar belakang berbeza para peserta, namun kesemuanya disatukan oleh semangat berkarya. Program ini turut diserikan dengan sesi demonstrasi teknik art chalk oleh pensyarah seni, pameran mini, serta sesi bergambar bersama karya yang dihasilkan. Pada penghujung acara, semua peserta bersama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan lukisan. Kapur yang digunakan adalah jenis mesra alam dan mudah dicuci hanya dengan air, menjadikan proses pembersihan cepat dan menyeronokkan. Aktiviti ini bukan sahaja memastikan kawasan fakulti kembali bersih, malah mengukuhkan semangat kerjasama antara pelajar dari pelbagai kursus. Kejayaan aktiviti Seni Kapur Kaki Lima ini membuktikan bahawa kreativiti mampu menjadi medium penyatuan warga kampus, tanpa mengira bidang pengajian. Dengan sambutan positif yang diterima, pihak penganjur merancang untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan, sekali gus memperkukuh hubungan antara fakulti serta mewujudkan suasana kampus yang lebih inklusif, ceria dan inspiratif.
| Item Type: | Monograph (Bulletin) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Husin, Mohd Syazrul Hafizi syazrul529@uitm.edu.my Abu Hassan, Anita anita397@uitm.edu.my |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Advisor Said, Roshima roshima712@uitm.edu.my Chief Editor Mohd Noor, Muhamad Aiman Afiq aimanafiq@uitm.edu.my |
| Subjects: | N Fine Arts > NC Drawing. Design. IIlustration > Technique N Fine Arts > NC Drawing. Design. IIlustration > Drawing for reproduction. Illustration |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Kedah > Sg Petani Campus > Faculty of Art and Design |
| Journal or Publication Title: | Galeri Seni Merbok UiTM Kedah |
| ISSN: | 2637-028X |
| Keywords: | Seni Kapur Kaki Lima Sidewalk Chalk Art, Artspreneur 4.0 Pix ArtProject IDESM UiTM Kedah, Kelab Senireka Industri FSSR Kedah |
| Date: | 2025 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/148100 |
148100.pdf
