Dalam budaya perkahwinan Melayu, hantaran bukan sekadar formaliti atau pameran kemewahan tetapi ianya adalah simbol penghormatan, ikatan dua keluarga dan kelengkapan adat yang telah diwarisi turun-temurun. Dahulu hantaran berupa manisan dan kuih-muih yang disusun rapi di atas dulang tembaga, kini ia berevolusi mengikut peredaran zaman kepada pemberian pakaian, alat solek, telefon pintar, beg tangan, malah kunci kereta turut menjadi pilihan. Namun di tengah arus perubahan ini, satu konsep muncul sebagai jawapan bijak kepada tekanan sosial dan keperluan praktikal iaitu “Hantaran Hidden” atau lebih dikenali sebagai “Dulang Hantaran Tertutup” yang merupakan satu trend terkini yang semakin digemari bakal pengantin kerana kehalusannya, kebijaksanaannya dan sudah tentu sahaja “stail habis” hasilnya. Tiada siapa tahu sama ada isi dulang itu iPhone terkini atau barang berjenama, tetapi yang kelihatan hanyalah keindahan seni balutan dan kreativiti gubahan. Bilangan hantaran tetap mengikut adat iaitu ganjil dan berbalas. Pihak lelaki biasanya memulakan dengan 3, 5, atau 7 dulang manakala pihak perempuan akan membalas dengan bilangan yang lebih tinggi misalnya 5, 7, atau 9, “lagi banyak, lagi meriah,” bak kata orang tua-tua. Namun, dengan “Hantaran Hidden”, fokus beralih dari kuantiti dan jenama kepada “kreativiti penyampaian”. Dekorasi menjadi medan utama ekspresi dimana di sinilah bakat penggubah dulang bersinar. Dulang plastik atau kotak kertas dihias dengan bunga tiruan, manik, riben dan kad ucapan mengikut tema warna atau cerita cinta pasangan. Ini menjadikan setiap dulang bukan sekadar pembawa barang, tetapi “karya senyap yang bercerita” menjadi naratif visual yang hanya difahami oleh mereka yang terlibat. Kini konsep hantaran tertutup ini kian diminati kerana ia membenarkan pasangan “memberi hadiah yang benar-benar bermakna dan praktikal” selepas majlis, tanpa tekanan untuk “berfoyafoya” di depan umum. Konsep ini sebenarnya bukan baru tetapi ianya telah lama wujud dalam adat Melayu sebagai cara halus untuk menjaga privasi dan mengelak perbincangan atau perbandingan di kalangan tetamu. Barangan hantaran dibalut rapi seperti hadiah menggunakan kain atau kotak bertutup sehingga isinya tidak kelihatan. Malah, ada yang hanya menggunakan “kotak kosong yang dihias cantik” sebagai simbolik semata-mata. Konsep bukan untuk menipu tetapi sebagai penghormatan terhadap adat tanpa perlu membawa barang sebenar ke dewan majlis. Ini memudahkan logistik, mengurangkan risiko kerosakan atau kehilangan barang mahal dan yang paling penting “mengelak buah mulut”.
| Item Type: | Monograph (Bulletin) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Hasan, Asrol asrol726@uitm.edu.my |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Advisor Said, Roshima roshima712@uitm.edu.my Chief Editor Mohd Noor, Muhamad Aiman Afiq aimanafiq@uitm.edu.my |
| Subjects: | G Geography. Anthropology. Recreation > GT Manners and customs > Customs relative to private life G Geography. Anthropology. Recreation > GT Manners and customs > Customs relative to special classes |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Kedah > Sg Petani Campus > Faculty of Art and Design |
| Journal or Publication Title: | Galeri Seni Merbok UiTM Kedah |
| ISSN: | 2637-028X |
| Keywords: | Perkahwinan Melayu, Dulang hantaran tertutup, Gubahan kreatif, Adat hantaran berbalas |
| Date: | 2025 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/147854 |
147854.pdf
