Kesyumulan Islam telah pun diiktiraf sebagai satu ajaran yang mengatur kehidupan manusia untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan. Lantaran itu, kepimpinan dalam sesebuah negara diberikan peranan untuk memastikan elemen-elemen siasah syar’iyyah dapat diterapkan dalam pentadbiran negara. Siasah syar’iyyah merupakan kaedah yang bersifat dinamik dan menepati maqasid syariah bagi mengurus pentadbiran negara. Pelaksanaan siasah syar’iyyah dalam penggubalan dasar kesejahteraan keluarga adalah bagi memastikan maslahah dalam kehidupan masyarakat majmuk dapat dilaksanakan dan menghindari mafsadah yang akan memudaratkan mereka. Oleh itu, objektif artikel ini adalah untuk menganalisis syarat-syarat pelaksanaan siasah syar’iyyah untuk membentuk dasar kesejahteraan keluarga dalam negara bermasyarakat majmuk. Kajian kualitatif ini akan mengupas tajuk kajian menggunakan metod analisis kandungan, induktif, deduktif serta komparatif. Artikel ini mendapati bahawa terdapat tiga syarat utama yang terkandung dalam pelaksanaan siasah syariah iaitu yang pertama hendaklah menepati hukum-hukum syariah serta ketetapan umum, kedua, hukum tersebut tidak bercanggah dengan dalil-dalil tafsiliy dan yang ketiga adalah adil. Selain daripada tiga syarat tersebut, terdapat juga syarat pengukuhan yang menjadi fokus ketika menggubal dasar-dasar kesejahteraan keluarga iaitu yang berkaitan dengan agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Walaupun hasil artikel ini sangat ringkas dan tidak menyentuh kesemua syarat pelaksanaan siasah syar’iyyah untuk membentuk dasar kesejahteraan keluarga dalam negara bermasyarakat majmuk, namun kewujudan tiga syarat utama dan lima syarat pengukuhan ini sudah cukup membuktikan bahawa Islam telah menyediakan garis panduan yang komprehensif bagi mewujudkan dasar-dasar kesejahteraan keluarga dalam negara bermasyarakat majmuk.
| Item Type: | Article |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Awang Ahmad, Awang Nib Zuhairi nibz@sarawak.gov.my Towpek, Hadenan hadenan298@uitm.edu.my Abdul Kadir, Abdul Razak abdurak1@uitm.edu.my |
| Subjects: | B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc > Islam > Islamic sociology B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc > Islam > The practice of Islam |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Sarawak > Kota Samarahan II Campus |
| Journal or Publication Title: | Proceedings Borneo International Islamic Conference |
| ISSN: | 2948-5045 |
| Volume: | 13 |
| Page Range: | pp. 304-312 |
| Related URLs: | |
| Keywords: | Syarat, Siasah syar’iyyah, Kesejahteraan keluarga dan masyarakat majmuk |
| Date: | 6 September 2022 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/143521 |
143521.pdf
