Abstract
Isu buli bukanlah sesuatu yang baru namun kini ia semakin serius di Malaysia. Bukan sahaja di sekolah, malah kes buli juga banyak berlaku di universiti dan di pejabat. Jika dulu buli hanya melibatkan fizikal seperti pukul, sekarang buli siber lebih berbahaya kerana ia boleh berlaku di mana-mana sahaja melalui media sosial. Mangsa buli biasanya akan mengalami trauma yang lama. Mereka akan rasa takut, rendah diri, dan hilang keyakinan diri untuk berdepan dengan orang ramai. Tekanan yang berterusan boleh menyebabkan masalah mental yang berat seperti kemurungan dan kegelisahan melampau (anxiety disorder). Ramai mangsa akhirnya memilih untuk menjauhkan diri daripada keluarga dan kawan-kawan kerana rasa malu, dan ini seterusnya akan membuatkan keadaan mental mereka menjadi lebih teruk.
Buli di sekolah
Buli boleh menyebabkan pelajar hilang minat untuk belajar. Mangsa sukar untuk fokus kepada pelajaran apabila sekolah sudah dirasakan bukan lagi tempat yang selamat. Mereka mungkin mula ponteng sekolah, hilang selera makan, dan susah tidur malam. Ibu bapa harus lebih peka dengan perubahan sikap anak-anak, manakala pihak sekolah perlu mengambil tindakan tegas tanpa berpihak kepada sesiapa. Buli tidak boleh dianggap sebagai "gurauan" atau "tradisi senior." Suasana yang penuh kasih sayang dan empati harus dibina supaya setiap generasi muda dapat membesar dengan jiwa yang sihat dan tenang.
Buli di tempat kerja
Buli di pejabat pula selalunya berlaku apabila pihak atasan atau rakan sekerja menyalahgunakan kuasa ataupun bersikap narsistik. Contohnya, mangsa mungkin dipulaukan, kerja mereka disabotaj, atau sering dimarahi di hadapan rakan sekerja tanpa sebab yang kukuh. Keadaan ini menyebabkan pekerja merasa sangat tertekan (burnout), hilang semangat untuk bekerja sekaligus prestasi bekerja akan merosot. Mangsa biasanya terpaksa berdiam diri kerana takut dibuang kerja atau merosakkan nama baik dalam kerjaya. Jika perkara ini tidak dihentikan, ramai pekerja yang berbakat akan berhenti kerja. Ini bukan sahaja akan merugikan sesebuah organisasi, malah ia memberi kesan buruk kepada ekonomi negara kerana persekitaran kerja yang tidak sihat.
Buli siber
Buli siber adalah ancaman moden yang sangat merisaukan kerana ia boleh berlaku di mana-mana sahaja melalui internet. Pembuli boleh menggunakan akaun palsu untuk menyebarkan fitnah atau memalukan mangsa dengan pelbagai cara. Buli siber sukar dipadam dan boleh dilihat oleh sesiapa sahaja di seluruh dunia. Ini membuatkan mangsa rasa terperangkap dan trauma kerana gangguan tersebut tidak berhenti walaupun mereka berada di rumah. Kesan buli siber terhadap mental sangat besar kerana maruah mangsa dijatuhkan di khalayak ramai. Mangsa akan berasa sunyi, putus asa, dan merasa seolah-olah semua orang sedang membenci mereka. Bagi golongan muda yang masih belum matang, tekanan digital yang melampau ini sangat berbahaya kerana ia boleh mendorong mereka untuk melakukan perkara yang tidak diingini
Metadata
| Item Type: | Monograph (Bulletin) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Idris, Nur Azimah UNSPECIFIED Libasin, Zuraira UNSPECIFIED |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Advisor Abd Rahman, Nor Hanim UNSPECIFIED Chief Editor Abu Mansor, Siti Nurleena UNSPECIFIED |
| Subjects: | L Education > LG Individual institutions > Asia > Malaysia > Universiti Teknologi MARA > Pulau Pinang L Education > LG Individual institutions > Asia > Malaysia > Universiti Teknologi MARA |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Pulau Pinang > Permatang Pauh Campus |
| Journal or Publication Title: | e-Buletin JSKM |
| ISSN: | 2637-0077 |
| Keywords: | Buli siber, Kesan mental, Persekitaran selamat |
| Date: | April 2026 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/141142 |
