Abstract
Pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya” menggambarkan dengan tepat tujuan program pemerkasaan komuniti yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP). Program yang dinamakan "Bridge Competition for Kids" ini merupakan hasil jalinan kerjasama antara FKA dan penduduk Taman Mengkuang Heights (TMH) di Bukit Mertajam. Bertempat di Dewan Serbaguna TMH pada 24 Februari 2024, program ini bertujuan untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada asas-asas kejuruteraan awam, khususnya dalam pembinaan jambatan. Secara tidak langsung, aktiviti ini memberi pendedahan awal kepada mereka tentang kepentingan kejuruteraan dalam pembangunan negara. Sebanyak 25 kanak-kanak yang berusia antara 6 hingga 15 tahun telah menyertai program ini, dan mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Acara dimulakan pada jam 8.30 malam, setelah para peserta menikmati jamuan makan malam yang disediakan oleh penganjur. Pada permulaan program, fasilitator yang terdiri daripada pensyarah FKA memberikan penerangan tentang asas-asas mereka bentuk struktur jambatan. Selepas itu, kanak-kanak ini menggunakan alat tulis masing-masing untuk membuat lakaran idea di atas kertas yang disediakan. Kesungguhan dan kreativiti mereka jelas terpancar ketika melontarkan idea dan membincangkan reka bentuk jambatan yang akan dibina. Dalam proses ini, bakat kepimpinan dan kerjasama mereka turut terserlah. Langkah seterusnya adalah membina model prototaip jambatan berdasarkan reka bentuk yang telah dipilih. Dengan menggunakan bahan-bahan seperti 100 keping batang aiskrim, kertas, gam, dan gunting, kanak-kanak ini bekerjasama dalam kumpulan masing-masing untuk menyiapkan prototaip jambatan mereka. Semangat berpasukan dan disiplin pengurusan masa turut diterapkan dalam pertandingan ini, di mana 30 minit pertama diperuntukkan untuk lakaran idea, dan 60 minit seterusnya untuk menyiapkan prototaip. Seusai 90 minit, sesi perjurian diadakan dengan juri jemputan yang dilantik terdiri daripada Ahli Jawatankuasa TMH. Terdapat empat kategori yang dinilai: kestabilan, kreativiti, kekemasan, dan kesepaduan.
Metadata
| Item Type: | Monograph (Bulletin) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Abdullah, Nor Hafizah Hanis UNSPECIFIED Abd Rahman, Zanariah UNSPECIFIED Musir, Adhilla Ainun UNSPECIFIED Abd Karim, Nurulzatushima UNSPECIFIED Azizan, Fairus Azwan UNSPECIFIED Habulat, Afifuddin UNSPECIFIED Mansor, Syahirah UNSPECIFIED Ahmad Syukri, Fuziatul Norsyiha UNSPECIFIED |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Advisor Pakir Mohamed Latiff, Muhamad Faizal UNSPECIFIED Chief Editor Kuan, Woei Keong UNSPECIFIED |
| Subjects: | L Education > LG Individual institutions > Asia > Malaysia > Universiti Teknologi MARA > Pulau Pinang L Education > LG Individual institutions > Asia > Malaysia > Universiti Teknologi MARA |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Pulau Pinang > Permatang Pauh Campus > Faculty of Civil Engineering Universiti Teknologi MARA, Pulau Pinang > Permatang Pauh Campus |
| Journal or Publication Title: | Buletin FKA |
| ISSN: | 2716-6325 |
| Keywords: | Pembangunan negara, Jambatan, Fasilitator |
| Date: | 2025 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/126804 |
