Abstract
Masyarakat Islam Ayutthaya dan Pattani adalah dua minoriti Melayu Thailand yang berbeza.
Melayu Ayutthaya telah lama dilupakan manakala Melayu Pattani tetap kukuh kerana mereka
majoriti di Wilayah Pattani. Objektif utama kajian ini adalah untuk menilai dan
membandingkan tahap pencapaian dua minoriti ini dalam domain bahasa, budaya, pendidikan
dan politik. Hasilan kajian menunjukkan Melayu Pattani jauh lebih baik berbanding Ayutthaya
dalam semua domain. Masyarakat Islam Ayutthaya telah hilang keMelayuannya, tiada lagi
bahasa dan budaya. Pengalaman Ayutthaya memberikan peringatan kepada Melayu Malaysia
agar sentiasa memperkasakan bahasa, budaya dan agama supaya identiti Melayu kekal kukuh.
Melayu Pattani pula masih bertahan dengan bahasa dan budayanya. Islamnya tetap kukuh dan
mampu mengekalkan kegemilangannya sebagai pusat pendidikan Islam di Asia Tenggara.
Penglibatan dalam politik setempat adalah baik tetapi lebih memihak kepada parti pemerintah.
Pengalaman Pattani membuktikan ‘majoriti’ tiada makna jika Melayu hilang kuasa. Apa yang
berlaku di Ayutthaya dan Pattani perlu dijadikan iktibar oleh Melayu Malaysia agar sentiasa
bersatu demi kuasa, agama dan bangsa.