Abstract
Dunia telah sekian lama mengangkat nilai etika dan integriti, meski sebelum kejatuhan Enron Corporation pada tahun 2001 yang sering dilambangkan sebagai titik perubahan dalam memperkukuh aspek tadbir urus organisasi. Bahkan, kesedaran akan kepentingan nilai etika dan integriti ini mula dibincangkan sejak zaman Greek yang menghimpunkan ideologi puluhan ahli-ahli falsafah barat dan timur berkaitan perkara ini. Perkembangan kajian dunia pengurusan dan perniagaan yang seringkali menggunakan etika dan integriti ini secara bersilih ganti menimbulkan persoalan berkaitan perbezaan dan persamaan antara keduanya. Etika dan integriti boleh dibezakan dari beberapa aspek. Melalui definisi atau konsep, etika secara umumnya dapat difahami sebagai suatu set peraturan kehidupan manusia yang menjadi asas dan panduan dalam menjalani kehidupan berprinsip dan mengikut peraturan yang betul (Hasan et al, 2020). Integriti pula merujuk kepada kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan konsisten merangkumi nilai moral, norma dan kepatuhan kepada peraturan (Huberts, 2018). Definisi ini menjelaskan bahawa etika menekankan aspek luaran dalam menggalakkan pematuhan manakala integriti adalah sesuatu yang lahir daripada kesedaran dalaman. Etika biasanya dikaitkan dengan set peraturan yang didokumentasikan di dalam kod etika organisasi atau peraturan-peraturan bertulis. Ini menjadikan etika adalah sesuatu yang mesti dipatuhi walaupun bukan secara sukarela. Integriti pula menekankan kualiti dalaman individu yang mendorong kepada pematuhan nilai moral dan bertindak secara telus tanpa paksaan atau pemerhatian. Bahasa mudahnya, integriti boleh dibentuk dengan adanya kod etika individu walaupun tanpa pergantungan kepada garis panduan kod etika organisasi. Justeru, etika adalah nilai yang biasanya dibentuk melalui arahan dan melibatkan interaksi antara lebih daripada satu individu. Sebaliknya, integriti boleh terbentuk hanya melalui kesedaran individu tanpa perlu ada campur tangan dan pengaruh pihak lain.
Metadata
Item Type: | Article |
---|---|
Creators: | Creators Email / ID Num. Abdul Jabar, Ja’izah UNSPECIFIED Wan Tahir, Wan Mardyatul Miza UNSPECIFIED |
Subjects: | H Social Sciences > HJ Public Finance > Public accounting. Auditing |
Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Negeri Sembilan > Seremban Campus |
Journal or Publication Title: | Buletin FPN S3 |
ISSN: | 2805-4539 |
Volume: | 9 |
Page Range: | pp. 24-25 |
Keywords: | Etika, integriti, moral, norma |
Date: | 2025 |
URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/117206 |