Abstract
Malaysia telah melalui satu perjalanan yang panjang dalam usahanya mencapai kemerdekaan. Pelbagai pihak telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha perjuangan kemerdekaan Malaysia. Antara pihak yang terlibat secara tidak langsung dalam usaha ini ialah parti politik yang berhaluan kiri seperti Hizbul Muslimin. Oleh itu, dalam artikel ini akan dibahaskan secara ringkas sumbangan parti Hizbul Muslimin terhadap usaha perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu 1957. Penjajahan British ke atas Tanah Melayu telah menghilangkan kesan dan kegemilangan bangsa Melayu. Justeru, penubuhan parti politik yang berteraskan Islam di Tanah Melayu telah membuatkan senario perjuangan menuntut kemerdekaan bangsa Melayu menjadi semakin rancak. Tuntutan kemerdekaan ini dicorakkan dengan semangat perjuangan Islam yang menentang penjajahan British. Antara parti politik yang berhaluan kiri yang lahir di era penjajahan Barat di Tanah Melayu ialah parti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), dan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). Pada peringkat awal di era tahun 1947 1948, sebuah majlis agama Islam yang bernama Majlis Agama Islam Tertinggi Malaya (MATA) telah dilahirkan. Seorang tokoh agama yang sangat terkenal iaitu Ustaz Abu Bakar al Baqir telah dilantik sebagai Pengerusi badan Kebajikan dan Pelajaran MATA. Beliau juga turut memainkan peranan penting dalam merangka dasar Pendidikan yang bertaraf nasional. Dalam sebuah persidangan yang berlangsung pada 15 November 1947 di Maahad II Ihya as Syarif yang telah dihadiri oleh lebih kurang 500 orang, telah dibentuk satu badan khas yang bernama Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR). Badan khas ini dipimpin oleh Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi. Antara matlamat LEPIR ialah menyamakan kurikulum Pendidikan semua sekolah agama rakyat di Malaya. Untuk itu, Pusat Pentadbiran Sekolah Rakyat telah dibentuk dan dikelolakan oleh Ustaz Hj Zubir Ahmad. Beliau mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pemimpin kesatuan Melayu muda seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin al Helmy.
Metadata
Item Type: | Monograph (Bulletin) |
---|---|
Creators: | Creators Email / ID Num. Mahadi, Mohd Hidayat UNSPECIFIED |
Subjects: | P Language and Literature > PN Literature (General) > Collections of general literature |
Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Negeri Sembilan |
Journal or Publication Title: | Buletin ACIS |
ISSN: | 2600-8289 |
Keywords: | Hizbul Muslimin, Tanah Melayu, 1957, Malaysia |
Date: | August 2024 |
URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/101638 |