Abstract
Pesta Kaul Mukah merupakan pesta ulung yang diraikan oleh Masyarakat kaum Melanau di Mukah, Sarawak. Pesta Kaul ini menandakan telah berakhirnya musim tengkujuh dan merupakan permulaan kalendar tahunan bagi suku kaum Melanau yang dikenali sebagai bulan Pengejin iaitu pada sekitar bulan Mac dan April setiap tahun. Uniknya, Kaul pada asalnya diadakan untuk memohon restu ataupun pemujaan daripada semangat penjaga laut, darat, ladang dan hutan atau dikenali juga sebagai Ipok agar penduduk tidak diganggu ketika mencari rezeki. Bagaimanapun, selaras dengan pengaruh agama Islam dalam masyarakat Melanau, Pesta Kaul di Mukah pada zaman moden ini telah berubah secara beransur-ansur daripada tujuan asalnya kepada pesta yang memartabatkan warisan budaya Melanau seperti mempamerkan makanan tradisi, sukan rakyat serta dianjurkan secara besar-besaran sehingga dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri Sarawak untuk menarik ramai ramai pengunjung dan pelancong bukan sahaja dari sekitar kawasan Mukah dan seluruh pelusuk Sarawak malahan juga dari luar negeri Sarawak. Oleh itu, penganjuran pesta kaul dengan skala yang besar ini menimbulkan persoalan kajian sejauh manakah Pesta Kaul 2023 ini mampu meningkatkan taraf ekonomi, pelancongan dan memperkenalkan budaya Melanau kepada penduduk setempat dan sekitarnya. Objektif kajian ini pula adalah untuk mengenalpasti impak penganjuran Pesta Kaul Mukah 2023 pasca COVID-19 dari segi ekonomi, sosiobudaya dan alam sekitar. Pendekatan kuantitatif telah digunakan iaitu dengan menekankan pengukuran objektif dan analisis statistik dengan mengumpulkan data melalui soal selidik kepada 313 orang pengunjung yang hadir sepanjang tiga hari utama Pesta Kaul Mukah 2023 berlangsung. Hasil kajian ini mendapati bahawa Pesta Kaul 2023 mampu menjana pendapatan kepada peniaga tempatan, dan Pesta Kaul 2023 juga masih mampu menarik ramai pelancong dan pengunjung untuk datang ke Mukah. Dalam pada yang sama Pesta Kaul Mukah 2023 ini juga mampu memberikan impak kepada pemuliharaan kebudayaan masyarakat Melanau di samping membangunkan komuniti setempat. Kesimpulan kajian ini ialah Pesta Kaul Mukah 2023 pasca COVID-19 mampu mengumpulkan pengunjung untuk memperkenalkan kebudayaan masyarakat Melanau dan menjana ekonomi masyarakat setempat. Impilikasi kajian ini ialah pihak penganjur kepada Pesta Kaul pada masa hadapan haruslah memastikan pengekalan penganjuran Pesta Kaul dalam melestarikan sosio budaya Melanau.
Metadata
Item Type: | Conference or Workshop Item (Paper) |
---|---|
Creators: | Creators Email / ID Num. Long, Suffina suffinalong@uitm.edu.my Shamsuddin, Noor Emma noore465@uitm.edu.my Tang, Howe Eng lily@uitm.edu.my Chik, Yahutazi yahutazi@uitm.edu.my Bohari, Mohamad Musa moham241@uitm.edu.my |
Subjects: | G Geography. Anthropology. Recreation > GN Anthropology > Ethnology. Social and cultural anthropology G Geography. Anthropology. Recreation > GN Anthropology > Ethnology. Social and cultural anthropology > Collected ethnographies |
Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Sarawak > Mukah Campus |
Event Title: | Konferensi Antarabangsa Kesenian Islam Melayu |
Event Dates: | 18 November 2023 |
Keywords: | Pesta Kaul Mukah, impak, sosio budaya, Melanau, pasca Covid-19 |
Date: | 2023 |
URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/100605 |