Analisis praktis semasa dalam e-dagang menurut perspektif syariah / Roshaimizam Suhaimi

Suhaimi, Roshaimizam (2018) Analisis praktis semasa dalam e-dagang menurut perspektif syariah / Roshaimizam Suhaimi. PhD thesis, Universiti Teknologi MARA.

Abstract

E-dagang adalah satu bentuk transaksi perdagangan moden yang dilaksanakan secara elektronik. Kelainan praktis dalam kontrak e-dagang memerlukan kewujudan parameter yang komprehensif, jelas dan praktikal bagi memastikan kontrak ini mematuhi prinsip syariah. Ini kerana parameter yang lengkap dan jelas masih belum dihasilkan oleh mana-mana kajian yang mendorong kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk membangunkan parameter kontrak e-dagang berlandaskan prinsip syariah sebagai panduan kepada pihak yang terlibat khususnya penjual dan pembeli. Kajian berbentuk kualitatif dan kuantitatif ini menggunakan kaedah reka bentuk dan pembangunan (DDR) diperkenalkan oleh Richey dan Klein (2010) dibahagikan kepada tiga fasa meliputi fasa analisis, fasa reka bentuk dan pembangunan dan fasa penilaian. Fasa analisis melibatkan penelitian terhadap praktis semasa dalam kontrak e-dagang bagi membentuk komponen utama parameter serta meneliti keperluan pembentukan parameter ini berdasarkan kaedah kajian literatur, dokumen dan temu bual. Fasa reka bentuk dan pembangunan melibatkan penentuan dimensi dan item parameter dengan menerima pakai kaedah kajian literatur dan temu bual yang seterusnya disahkan melalui kesepakatan 12 pakar muamalat melalui kaedah Fuzzy Delphi. Analisis data FDM berdasarkan kesepakatan terhadap item parameter oleh kumpulan pakar menggunakan nilai threshold (d), peratus kesepakatan pakar dan pemomboran fuzzy. Fasa terakhir iaitu fasa penilaian melibatkan responden pengguna terdiri daripada penjual dan pembeli seramai 284 orang untuk mengesahkan parameter kontrak e-dagang yang telah dibangunkan. Fasa ini dilaksanakan analisis univariat berasaskan nilai min dan taburan kekerapan serta analisis nilai kebolehpercayaan dan analisis faktor. Dapatan fasa analisis menunjukkan praktis semasa yang perlu dijadikan kerangka pembangunan parameter adalah pembentukan kontrak, pelaksanaan kontrak dan pelindungan kontrak. Manakala, dapatan fasa reka bentuk dan pembangunan telah membangunkan parameter yang merangkumi tiga dimensi dan 28 item. Dimensi parameter ini terdiri daripada pihak berkontrak, produk dan harga dan sighah kontrak. Lapan item terkandung dalam dimensi pihak berkontrak, sembilan item dalam dimensi produk dan harga serta sebelas item dalam dimensi sighah kontrak. Analisis FDM menunjukkan 28 item ini mematuhi tiga syarat analisis FDM dengan nilai threshold (d) < 0.2, peratus kesepakatan pakar > 75% dan pemomboran fuzzy (nilai a-cut = 0.5). Dapatan fasa penilaian pula, menunjukkan analisis univariat berasaskan nilai min dan taburan kekerapan yang memuaskan. Ini disokong oleh nilai Cronbach’s alpha yang diterima bagi konstruk instrumen kajian dengan dimensi pihak berkontrak (0.722), produk dan harga (0.884) dan sighah kontrak (0.908). Penilaian ini dikukuhkan dengan nilai KMO dimensi pihak berkontrak (0.778), dimensi produk dan harga dengan nilai KMO (0.867) dan dimensi sighah kontrak dengan nilai KMO (0.903). Seterusnya, analisis faktor beban menunjukkan semua item melebihi nilai pemberat yang diperlukan bagi penerimaan sesuatu item dalam instrumen kajian. Rumusannya, pembangunan parameter ini telah dinilai dan disahkan oleh 12 pakar muamalat dan kajian lapangan melibatkan 284 orang responden yang boleh dicadangkan kepada pihak-pihak terlibat antaranya JAKIM dan KPDNKK untuk dijadikan garis panduan khusus pelaksanaan kontrak e-dagang. Selain itu, kajian lanjutan boleh dilaksanakan bagi menilai aspek kebolehlaksanaan atau keberkesanan parameter yang telah dibangunkan ini.

Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Creators:
Creators
Email / ID Num.
Suhaimi, Roshaimizam
UNSPECIFIED
Subjects: B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc > Islam > Islam and economics
Divisions: Universiti Teknologi MARA, Shah Alam > Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS)
Programme: Doktor Falsafah (Pengajian Islam Kontemporari)
Keywords: Analisis, E-dagang, Syariah
Date: 2018
URI: https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/27960
Edit Item
Edit Item

Download

[thumbnail of TP_ROSHAIMIZAN SUHAIMI ACI 18_5.pdf] Text
TP_ROSHAIMIZAN SUHAIMI ACI 18_5.pdf

Download (107kB)

Digital Copy

Digital (fulltext) is available at:

Physical Copy

Physical status and holdings:
Item Status:

ID Number

27960

Indexing

Statistic

Statistic details