Pembangunan model hotel patuh syariah berteraskan Maqāṣid Syarīʿah di Malaysia

Abd Rahman, Siti Nur Husna (2026) Pembangunan model hotel patuh syariah berteraskan Maqāṣid Syarīʿah di Malaysia. PhD thesis, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Abstract

Industri perhotelan di Malaysia sedang mengalami pertumbuhan yang pesat, khususnya dalam segmen pelancongan Islam yang menuntut pematuhan terhadap prinsip Syariah dalam penyediaan perkhidmatan. Permintaan terhadap hotel patuh Syariah semakin meningkat seiring dengan kesedaran pengguna Muslim terhadap keperluan akomodasi yang selari dengan ajaran Islam. Walau bagaimanapun, industri ini masih berdepan dengan beberapa isu utama seperti ketidakseragaman piawaian hotel patuh Syariah, kekeliruan antara konsep hotel patuh Syariah dan Muslim-friendly hotel, serta ketiadaan model perkhidmatan yang komprehensif dan berteraskan Maqāṣid Syarīʿah. Situasi ini menyebabkan pengusaha hotel dan pembuat dasar menghadapi kesukaran dalam menentukan elemen perkhidmatan yang memenuhi kehendak Syariah. Justeru, kajian ini bertujuan mengenal pasti keperluan pembangunan model hotel patuh Syariah, menentukan item-item utama berasaskan Maqāṣid Syarīʿah, membangunkan Model MaSC-Hotel serta mengesahkan kesesuaiannya dalam konteks industri perhotelan di Malaysia. Kajian ini menggunakan pendekatan Design and Development Research (DDR) yang dilaksanakan melalui tiga fasa utama dan satu proses pengesahan industri. Fasa pertama, iaitu analisis keperluan, dijalankan melalui analisis dokumen terhadap standard dan garis panduan berkaitan hotel patuh Syariah seperti MS2610:2015, Islamic Quality Standard (IQS), Salam Standard dan CrescentRating, di samping temu bual mendalam bersama pakar berkaitan. Data dianalisis menggunakan NVivo 12 dan disahkan melalui Cohen’s Kappa. Fasa kedua melibatkan reka bentuk model dan pengesahan item menggunakan Kaedah Fuzzy Delphi yang melibatkan enam belas (16) orang pakar. Kesepakatan pakar ditentukan berdasarkan nilai threshold (d ≤ 0.2), peratus kesepakatan melebihi 75% dan nilai α-cut ≥ 0.5. Fasa ketiga melibatkan penilaian kebolehgunaan model menggunakan Modified Nominal Group Technique (NGT) bersama tujuh (7) orang pakar. Bagi memperkukuh kesahan dan kebolehlaksanaan model, sesi pengesahan industri turut dilaksanakan melalui temu bual bersama wakil industri perhotelan patuh Syariah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Model MaSC-Hotel berjaya dibangunkan berasaskan integrasi tiga kategori utama Maqāṣid Syarīʿah iaitu Ḍarūriyyāt, Ḥājiyyāt dan Taḥsīniyyāt. Domain Ḍarūriyyāt merangkumi lima konstruk utama iaitu pemeliharaan agama (Ḥifẓ al-Dīn), akal (Ḥifẓ al-’Aql), maruah (Ḥifẓ al-’Irḍ), harta (Ḥifẓ al-Māl) dan nyawa (Ḥifẓ al-Nafs). Domain Ḥājiyyāt melibatkan strategi pemasaran, ekosistem halal, integriti pengurusan serta aset dan prasarana, manakala domain Taḥsīniyyāt merangkumi aspek kebersihan, keselamatan, pembangunan dan perhiasan. Penilaian pakar melalui NGT serta pengesahan industri menunjukkan bahawa model yang dibangunkan adalah sesuai, praktikal dan berpotensi untuk diaplikasikan dalam operasi hotel patuh Syariah di Malaysia. Novelti utama kajian ini ialah penghasilan satu model perkhidmatan hotel patuh Syariah yang holistik, sistematik dan berteraskan Maqāṣid Syarīʿah melalui gabungan analisis dokumen, temu bual pakar, konsensus Fuzzy Delphi, penilaian Modified NGT dan pengesahan industri. Model ini berpotensi menjadi panduan kepada pengusaha hotel, agensi pensijilan halal dan pembuat dasar dalam pembangunan standard hotel patuh Syariah di Malaysia. Kajian lanjutan dicadangkan untuk menguji keberkesanan Model MaSC-Hotel secara empirikal dalam pelbagai kategori hotel di Malaysia dan peringkat antarabangsa bagi memperkukuh kebolehgunaannya dalam ekosistem hospitaliti Islam global.

Item Details
Edit Item
Edit Item
Downloads & Files
[thumbnail of 150502_fulltext.pdf]
Text
150502_fulltext.pdf
Available under License Dasar Harta Intelek UiTM (Para 6).
Download (12MB)
[thumbnail of declarationform.pdf]
Text
declarationform.pdf
Restricted to Repository staff only
Download (910kB)
Location & Physical Holdings
Digital Copy
Physical Location
Item Status
Indexing & Metrics