Lakonan kreatif memupuk kesedaran bahaya banjir: pembelajaran interaktif dan berpusatkan pelajar

Abdul Karim, Nurulzatushima and Jamil, Marni and Arifin, Aalia and Mohd Fauzey, Fatin Syahmina and Imran, Nik Farhanim and Raja Ibrahim, Raja Rosila (2025) Lakonan kreatif memupuk kesedaran bahaya banjir: pembelajaran interaktif dan berpusatkan pelajar. Bulletin. Unit Penerbitan PKAPP, UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Abstract

Aktiviti Role Play: Tides & Talents merupakan satu pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang memberi penekanan kepada penglibatan aktif pelajar dalam memahami isu keselamatan dan kesiapsiagaan bencana melalui simulasi situasi sebenar. Aktiviti ini direka untuk membolehkan pelajar menghayati peranan individu dan komuniti dalam menghadapi situasi kecemasan secara langsung, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna, interaktif, dan berimpak tinggi. Pelaksanaan aktiviti Role Play ini telah dijalankan di dua buah sekolah menengah kebangsaan di Seberang Perai Utara (SPU), iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti, Tasek Gelugor pada 07 hingga 08 Oktober 2025, serta Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Hj. Ahmad Said, Sungai Dua, SPU. Dalam pelaksanaan aktiviti ini, pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan diberikan situasi lakonan yang berbeza untuk dilaksanakan. Situasi yang dilakonkan adalah berdasarkan senario kehidupan sebenar seperti kehilangan ahli keluarga semasa kecemasan, pelaksanaan misi agihan bantuan, situasi panik dan pemindahan di sekolah, serta kejadian banjir kilat di kawasan awam. Setiap kumpulan diberikan masa persediaan yang mencukupi untuk merancang jalan cerita, menyediakan skrip ringkas, menentukan watak utama dan sokongan, serta merancang penggunaan prop dan kesan bunyi yang bersesuaian dengan situasi yang dilakonkan.
Pendekatan role play ini memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir secara kritikal dan kreatif dalam menyampaikan mesej keselamatan kepada penonton. Pelajar bukan sahaja berperanan sebagai pelakon, malah turut diberi tanggungjawab sebagai stage crew dan effects crew yang menguruskan susun atur pentas, pertukaran babak, bunyi latar, dan kesan khas sepanjang persembahan berlangsung. Penglibatan pelajar dalam pelbagai peranan ini membantu membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi, serta semangat kerja berpasukan yang tinggi. Sepanjang aktiviti berlangsung, guru sekolah dan fasilitator utama berperanan membimbing pelajar, memantau sesi latihan, serta memberi panduan dan maklum balas secara berterusan bagi memastikan setiap persembahan berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Persembahan yang dipentaskan oleh setiap kumpulan bukan sahaja memaparkan kreativiti pelajar, malah berjaya menggambarkan kepentingan tindakan awal, komunikasi yang berkesan, serta kerjasama antara individu dan komuniti dalam menghadapi situasi kecemasan.. Aktiviti Role Play ini telah memberikan impak yang signifikan terhadap tahap kesedaran dan kefahaman pelajar. Melalui simulasi situasi sebenar, pelajar dapat memahami dengan lebih jelas langkah keselamatan yang perlu diambil, peranan yang perlu dimainkan oleh setiap individu, serta kepentingan mematuhi arahan pihak berkuasa semasa kecemasan. Pengalaman ini menjadikan mesej keselamatan lebih mudah dihayati dan diingati berbanding pendekatan pembelajaran secara teori semata-mata.

Item Details
Edit Item
Edit Item
Downloads & Files
[thumbnail of 150075.pdf]
Text
150075.pdf
Download (956kB)
Indexing & Metrics