Lensa Syawal 2025: ukhuwah tanpa sempadan

Abu Bakar, Amalina Amirah and Muhammad Ali, Khairul Ammar (2025) Lensa Syawal 2025: ukhuwah tanpa sempadan. Bulletin. Unit Penerbitan PKAPP, UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Abstract

Mengimbas kembali kemeriahan Aidilfitri pada tahun 2025 yang lalu, kediaman kami telah diserikan dengan kunjungan tetamu-tetamu yang amat istimewa. Mereka bukanlah orang asing, sebaliknya merupakan barisan alumni Diploma (EC110) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (EC221) UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMPP) yang pernah menjadi anak didik kami suatu ketika dahulu.
Pertemuan kecil-kecilan ini turut menghimpunkan barisan pimpinan serta ahli Kelab IMPACT (The Impact of Professional Academic Community). Sebagai penasihat kelab, melihat kepulangan mereka untuk berkumpul secara santai di luar waktu rasmi pejabat memberikan satu kepuasan emosi yang tidak ternilai. Suasana di ruang tamu riuh dengan perkongsian cerita kejayaan. Wajah-wajah yang dahulunya tekun menelaah di perpustakaan, kini hadir segak sebagai jurutera yang sedang gigih membina kerjaya di pelbagai sektor industri. Lebih manis lagi, ada yang hadir membawa pasangan dan anak-anak, sekali gus menukarkan sesi "sembang akademik" kepada suasana kekeluargaan yang cukup hangat.
Bagi kami, melihat anak didik yang telah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata sendiri memberikan satu perspektif baru. Ia membuktikan bahawa didikan di universiti bukan sekadar mengenai pemindahan ilmu teknikal, tetapi juga pembinaan sahsiah dan ikatan persaudaraan yang berpanjangan.
Besar harapan kami agar kesemua alumni IMPACT dan graduan Kejuruteraan Awam UiTMPP terus melangkah jauh dan menggapai puncak kejayaan. Teruskanlah menaikkan nama universiti dan fakulti menerusi kecemerlangan hasil kerja dan integriti yang tinggi di lapangan industri. Moga setiap butir ilmu yang dicurahkan sepanjang di UiTM menjadi pemangkin untuk kalian terus berjaya dan menyumbang bakti kepada masyarakat.
Terima kasih kerana sudi bertamu, "anak-anak" didik sekalian!

Item Details
Edit Item
Edit Item
Downloads & Files
[thumbnail of 150073.pdf]
Text
150073.pdf
Download (928kB)
Indexing & Metrics