ETOS kerja Islam merupakan falsafah pekerjaan berteraskan tauhid, niat ikhlas, Amanah dan keberkatan rezeki dan menitikberatkan keseimbangan pekerjaan-kehidupan. Etos kerja Islam merupakan proses menyepadukan antara nilai spiritual, moral dan material dalam memperkukuhkan hubungan majikan dan pekerja bersumberkan prinsip itqan, keadilan dan Rahmah. Tetapi wujud cabaran kontemporari mengakibatkan pekerja stres dan burnout sehingga kesihatan mental dan fizikal terjejas. Pengurusan sumber manusia pada masa kini perlukan kepada teori yang baharu agar sesuai dengan zaman. Oleh yang demikian, objektif kajian ini ialah (i) Mengenal pasti konsep etos kerja menurut perspektif Islam, (ii) Menganalisis konsep bagi RAHMAH dalam kerangka Malaysia Madani, dan (iii) Membangunkan kerangka etos kerja RAHMAH bagi meningkatkan keseimbangan pekerjaankehidupan di Malaysia. Reka bentuk kajian kualitatif berpendekatan fenomenologi bersama triangulasi untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kesahihan data. Kajian bermula dengan sorotan literatur, diikuti temu bual tujuh orang pakar bidang dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) menggunakan persampelan bertujuan. Kesemua data temu bual telah dianalisis menggunakan analisis tematik berbantuan Perisian ATLAS ti24 berdasarkan tiga tema kajian utama iaitu (i) Konsep Etos Kerja Islam, (ii) Konsep kerangka RAHMAH dan (iii) Keseimbangan Pekerjaan-Kehidupan. Dapatan kajian mendapati bahawa etos kerja Islam bersifat holistik dan universal sesuai diamalkan oleh masyarakat majmuk di Malaysia. Etos kerja Islam merupakan ibadah, dimulakan dengan niat yang baik dan penekanan terhadap keberkatan iaitu melakukan kerja yang halal dan pelaksanaan mengikut prinsip-prinsip Islam agar memperoleh keredaan Allah SWT. Nilai etos kerja Islam ialah ihsan, amanah, adil dan kasih sayang. Etos kerja Islam memberi penekanan terhadap spiritual dan material berbeza daripada kerangka Barat yang menekankan material semata-mata. Kerangka RAHMAH Madani terdiri daripada nilai ihsan, empati, keadilan dan self-compassion yang sesuai diamalkan oleh organisasi kontemporari. Etos kerja RAHMAH boleh diterjemah dalam polisi kerja melalui tadbir urus dan kepimpinan melalui teladan. Pendekatan pengurusan organisasi berlandaskan etos kerja Islam dan kerangka RAHMAH seperti pelaksanaan 4P (Pemahaman, Pilot, Peringkat dan Pengukuran), KPI compassion, cuti fleksibel dan person-job fit perlu dilaksanakan untuk menangani cabaran KPI, VUCA dan budaya toksik bagi menjamin kesejahteraan pekerja. Hasil kajian mendapati pembangunan kerangka etos kerja RAHMAH adalah diperlukan dan bersesuaian untuk menjadi kerangka pengurusan sumber manusia mengikut prinsip Islam. Kerangka ini menitikberatkan situasi pekerja dari segi emosi, psikologi dan fizikal yang perlu dibantu dengan menggunakan pendekatan secara holistik dan berperingkat supaya dapat meningkatkan keseimbangan pekerjaan-kehidupan di Malaysia.
| Item Type: | Thesis (Masters) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Wan Azli, Wan Saudah UNSPECIFIED |
| Subjects: | B Philosophy. Psychology. Religion > BP Islam. Bahaism. Theosophy, etc > Islam > Islam and economics H Social Sciences > HD Industries. Land use. Labor |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Shah Alam > Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS) |
| Programme: | Akademi Pengajian Islam Kontemporari |
| Keywords: | Kerangka ETOS, Kerja rahmah, Keseimbangan pekerjaan |
| Date: | 2026 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/149893 |
149893_fulltext.pdf
Available under License Dasar Harta Intelek UiTM (Para 6).
declarationform.pdf
Restricted to Repository staff only

