Kajian ini bertujuan meneliti keberkesanan kecerdasan buatan (AI) dalam penulisan sajak berunsurkan estetika melalui pendekatan analisis kandungan sajak janaan AI. Dalam konteks perkembangan teknologi digital, AI semakin digunakan sebagai alat sokongan dalam penghasilan karya sastera, termasuk cerpen, pantun dan sajak. Namun demikian, persoalan tentang keupayaan AI untuk menghasilkan nilai estetika yang mendalam, beremosi dan bermakna masih menjadi perdebatan. Kajian ini memfokuskan kepada analisis kualitatif terhadap sajak-sajak yang dihasilkan oleh AI dengan menilai aspek estetika seperti penggunaan metafora, personifikasi dan simbolisme serta kebolehannya mengikut arahan tema yang diberikan. Data kajian diperoleh melalui analisis teks terhadap sampel sajak janaan AI, bacaan kajian-kajian lepas tentang kritikan sajak, dan disokong oleh sumber kepustakaan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa AI berupaya menghasilkan sajak yang tersusun, kaya dengan unsur bahasa kiasan dan memiliki nilai estetika asas. Penggunaan metafora, simbolisme dan personifikasi dapat dikesan secara konsisten, sekaligus menunjukkan kecekapan AI dalam meniru gaya penulisan puitis manusia. Selain itu, sajak janaan AI juga mampu mengikut tema yang diminta dengan baik dan teratur. Walau bagaimanapun, kajian ini juga mendapati bahawa AI masih mempunyai keterbatasan dalam menjiwai pengalaman manusia yang mampu mencerminkan falsafah dan jiwa sastera Melayu melalui sajak. Oleh itu, AI lebih berkesan berperanan sebagai alat bantu atau pencetus idea, bukannya pengganti sepenuhnya kepada kreativiti dan pengalaman penyajak. Kesimpulannya, AI mempunyai potensi besar dalam menyokong penulisan sajak berunsurkan estetika, namun keberkesanannya perlu diseimbangkan dengan kepekaan emosi, nilai kemanusiaan dan pemahaman budaya yang dimiliki oleh seorang penyajak.
| Item Type: | Article |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Aziz, Azwani azwani@tarc.edu.my |
| Subjects: | P Language and Literature > PN Literature (General) > Poetry > Malaysia Q Science > QA Mathematics > Instruments and machines > Electronic Computers. Computer Science > Computer software > Application software |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Kelantan > Machang Campus |
| Journal or Publication Title: | i-LEdHS 2026 Conference Proceedings |
| ISSN: | 978-629-93193-0-6 |
| Volume: | 1 |
| Number: | 1 |
| Page Range: | pp. 19-35 |
| Keywords: | Aesthetics in literature, Artificial intelligence, Malay poetry |
| Date: | 2026 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/149071 |
149071.pdf
