Teks ucapan wakil pelajar sempena Majlis Anugerah Dekan Fakulti Sains Kesihatan

Bahman, Ahmad Taqiyyuddin (2025) Teks ucapan wakil pelajar sempena Majlis Anugerah Dekan Fakulti Sains Kesihatan. In: Majlis Anugerah Dekan Fakulti Sains Kesihatan, 13 November 2025, Dewan Peperiksaan Ptar.
Abstract

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita dapat sama-sama berkumpul dalam majlis yang penuh bermakna ini. Izinkan saya memperkenalkan diri. Nama diberi Ahmad Taqiyyuddin bin Bahman, pelajar semester 5 Diploma Kejururawatan dan pada hari yang bersejarah ini, saya mewakili pelajar dan suara seluruh rakan-rakan seperjuangan Fakulti Sains Kesihatan yang telah berusaha keras dalam perjalanan akademik mereka. Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menyampaikan ucapan dalam majlis ini. Hadirin dan hadirat sekalian, Majlis ini bukan sekadar acara penyampaian anugerah atau penghargaan semata-mata. Ia adalah satu pengiktirafan terhadap usaha, semangat, dan kecekalan hati setiap pelajar yang tidak pernah berhenti berusaha, walau dalam apa jua keadaan. Kita semua tahu bahawa perjalanan sebagai pelajar dalam bidang sains kesihatan bukan sesuatu yang mudah. Ia menuntut kekuatan fizikal, ketahanan mental, dan kesabaran yang tinggi. Ada ketika kita diuji dengan tugasan yang bertimbun, sesi klinikal atau makmal yang panjang, dan tekanan untuk menyeimbangkan antara akademik, kehidupan peribadi, serta tanggungjawab lain. Namun hari ini, semua itu terbukti berbaloi. Kita berdiri di sini bukan kerana kita tidak pernah jatuh, tetapi kerana kita tidak pernah berhenti untuk bangun. Setiap daripada kita punya cerita tersendiri iaitu kisah perjuangan, air mata, keletihan, dan juga kebanggaan. Ada yang berjauhan dari keluarga, ada yang berdepan kesempitan, dan ada yang berjuang dengan pelbagai cabaran peribadi. Tetapi walau apapun rintangannya, kita tetap melangkah. Hadirin sekalian, Kejayaan yang kita capai hari ini bukan milik kita seorang. Ia juga milik para pensyarah dan staf fakulti yang tidak pernah jemu membimbing, menasihati, dan menyokong kita dalam setiap langkah perjalanan ini. Terima kasih kepada semua tenaga pengajar yang telah menyalurkan ilmu dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Setiap teguran, setiap nasihat, dan setiap semangat yang diberikan menjadi panduan yang amat bermakna buat kami semua. Tidak lupa juga kepada ibu bapa dan keluarga tersayang, yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan ini. Doa dan restu mereka adalah kekuatan utama kita untuk terus melangkah ke hadapan. Walaupun mungkin mereka tidak dapat bersama kita pada hari ini, namun setiap senyuman dan rasa bangga mereka adalah ganjaran terbesar yang tidak ternilai harganya. Rakan-rakan seperjuangan, Dalam bidang sains kesihatan ini, kita bukan hanya belajar tentang tubuh manusia atau rawatan penyakit. Kita belajar tentang erti kemanusiaan — tentang bagaimana menenangkan hati yang gelisah, memberi kekuatan kepada yang lemah, dan mengembalikan senyuman kepada mereka yang sedang menderita.

Item Details
Edit Item
Edit Item
Downloads & Files
[thumbnail of 148785.pdf]
Text
148785.pdf
Download (89kB)
Indexing & Metrics