Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun dalam majlis yang penuh makna ini iaitu Majlis Anugerah Dekan Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam. Hari ini, kita bukan sekadar meraikan kejayaan akademik, tetapi juga mengiktiraf usaha, kesungguhan, dan kecekalan pelajar-pelajar yang telah membuktikan bahawa kejayaan tidak datang bergolek, tetapi hadir melalui disiplin, keazaman, dan doa yang tidak pernah putus. Pada kesempatan yang penuh bermakna ini juga, saya bagi pihak UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam ingin mengalu-alukan dengan penuh rasa hormat dan sukacita atas kehadiran delegasi daripada Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, yang turut bersama-sama memeriahkan majlis pada hari ini. Sesungguhnya, kehadiran pihak tuan dan puan amat kami hargai sebagai tanda sokongan, kebersamaan, dan jalinan ukhuwah akademik antara dua kampus UiTM ini. Pada majlis kali ini, seramai 145 pelajar cemerlang diraikan sebagai penerima Anugerah Dekan, mewakili lima program diploma di bawah Fakulti Sains Kesihatan, iaitu: Program Teknologi Makmal Perubatan, Program Kesihatan Persekitaran, Program Fisioterapi, Program Pemulihan Carakerja, dan Program Kejururawatan. Setiap satu program ini melahirkan pelajar yang bukan sahaja memiliki pengetahuan dalam bidang masing-masing, tetapi juga mempunyai tanggungjawab besar terhadap masyarakat dan negara. Hadirin yang dihormati sekalian, Kejayaan para pelajar hari ini tidak datang tanpa pengorbanan. Di sebalik senyuman yang kita lihat, tersimpan kisah perjuangan, air mata, dan keringat yang tidak pernah berhenti. Dan di sebalik setiap kejayaan juga, ada sokongan ibu bapa, keluarga, dan para pensyarah yang sentiasa mendoakan dan membimbing dari awal hingga akhir. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada seluruh tenaga pengajar Fakulti Sains Kesihatan atas usaha yang tidak pernah putus dalam melahirkan pelajar cemerlang, serta kepada ibu bapa yang menjadi tulang belakang kejayaan anak-anak mereka. Para pelajar yang dikasihi sekalian, Kejayaan akademik amat penting, namun dalam dunia yang semakin mencabar ini, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pointer yang tinggi, tetapi juga melalui kebijaksanaan dalam berinteraksi, kemampuan berfikir secara kritikal, dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan. Oleh itu, saya ingin berpesan kepada semua pelajar, khususnya yang diraikan hari ini supaya sentiasa meningkatkan kemahiran insaniah atau soft skills anda. Sertailah aktiviti kelab, persatuan, dan program kesukarelawanan di kampus. Ambillah peluang untuk melibatkan diri dalam perbincangan ilmiah, bengkel kepimpinan, dan sesi kolaboratif antara fakulti. Keterlibatan dalam aktiviti sebegini bukan sahaja mengasah bakat kepimpinan dan kemahiran komunikasi, tetapi juga membantu anda menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan sosial. UiTM menyediakan pelbagai platform untuk pelajar mengembangkan potensi diri dan semestinya perlu dimanfaatkan sepenuhnya selagi bergelar mahasiswa. Selain itu, saya ingin menekankan bahawa kecemerlangan yang sebenar adalah apabila ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan kepada orang lain. Sebagai pelajar dalam bidang kesihatan, anda memikul amanah yang besar yang bukan sahaja untuk menyembuh penyakit, tetapi juga untuk menyentuh kehidupan, membawa harapan, dan membina kesejahteraan masyarakat. Maka, jagalah integriti, empati dan etika dalam setiap langkah perjalanan profesional kelak.
| Item Type: | Conference or Workshop Item (Speech) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Mohd Noor, Mohamad Azhar UNSPECIFIED |
| Subjects: | L Education > LG Individual institutions > Asia > Malaysia > Universiti Teknologi MARA > Pulau Pinang L Education > LG Individual institutions > Asia > Malaysia > Universiti Teknologi MARA |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Pulau Pinang > Bertam Campus > Faculty of Health Sciences Universiti Teknologi MARA, Pulau Pinang > Permatang Pauh Campus |
| Event Title: | Majlis Anugerah Dekan Fakulti Sains Kesihatan |
| Event Dates: | 13 November 2025 |
| Keywords: | Kecemerlangan akademik, Anugerah dekan, Kemahiran insaniah |
| Date: | 13 November 2025 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/148740 |
148740.pdf
