Versatiliti di kalangan OKU

Husin, Mohd Syazrul Hafizi and Abu Hassan, Anita (2023) Versatiliti di kalangan OKU. Bulletin. Universiti Teknologi MARA, Kedah, Universiti Teknologi MARA, Kedah.
Abstract

Versatility atau versatile merupakan satu perkataan yang membawa maksud serba boleh atau lebih tepat sekali membawa maksud keboleh upayaan yang terdapat di dalam diri seseorang. Setiap manusia secara fitrahnya dilahirkan serba boleh. Allah menjadikan setiap kelahiran itu dengan penuh keajaiban untuk kita mengagumi akan kebesaran Ilahi. Sains telah membuktikan manusia merupakan subjek hidup yang sangat kompleks. Seawal dari alam rahim melalui teknologi ultrasound kita akan mendapati setiap bayi telah pun mempunyai kemahiran serba boleh yang tidak memerlukan asuhan atau didikan dari sesiapa seperti pergerakan berkoordinasi, menggenggam dan membuka genggaman tangan, menendang dan membuat riak wajah mukanya. Ini membuktikan bahawa setiap manusia adalah versatile samada seseorang itu cukup sifat fizikalnya atau dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU). Memetik laporan dari Astro Awani bertarikh 3 Desember 2021, lima atlet negara iaitu Bonnie Bunyau (powerlifting), Cheah Like Hou (badminton), Abdul Latif Romly (lompat jauh), Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia) pernah menerima anugerah khas sempena Hari OKU sedunia kerana berjaya meraih pingat dalam Sukan Paralimpik Tokyo pada tahun 2020. Terbaharu memetik laporan akhbar Kosmo bertarikh 21 Julai 2023, seorang penolong akauntan OKU iaitu Encik Khairuddin Saad, 40, telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dari Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) zon Pulau Pinang dan ini membuktikan golongan kurang upaya juga mampu meraih kejayaan. Kekurangan pada diri bukanlah penghalang untuk menjadi insan yang versatile, sebaliknya menjadi pemangkin dalam meningkatkan kemahiran dalam diri. Di dalam bidang seni lukis, pancaindera terpenting yang merupakan nadi seseorang pelukis selain dari anggota tangan ialah mempunyai penglihatan mata yang baik. Namun kecacatan seseorang pelukis bukanlah batu penghalang dari seseorang itu untuk terus berkarya. Ini telah dibuktikan oleh seoarang pemegang kad OKU, Noor Baiti Razali yang mempunyai kecacatan kekal pada matanya dan masih menghasilkan karya-karya lukisan yang menarik. Menurut sumber artikel dari Bernama bertarikh 28 Nov 2016, Noor Baiti Razali hanya menyedari tentang bakat melukis yang ada padanya setelah suaminya diserang angin ahmar. Untuk membiayai kos perubatan tersebut, beliau mula melukis gambar kucingnya sendiri dan akhirnya ramai pencinta kucing mulai menempah karya lukisan dari beliau untuk melukis gambar kucing-kucing mereka. Selain dari Noor Baiti Razali, terdapat ramai lagi pelukis OKU yang serba boleh dari dalam dan luar negara yang telah membuktikan kejayaan mereka dalam arena ini. Salah seoang pelukis OKU antarabangsa yang buta penglihatannya ialah John Bramblitt yang menjadi pelukis setahun selepas kedua-dua matanya sudah tidak lagi berfungsi. Berikut merupakan karya beliau berjudul Brightside yang sangat mengagumkan dari sumber Liputan 6 Online. Menjadi seorang yang versatile bukanlah sesuatu yang mudah kerana ianya merupakan anugerah bakat dari Sang Pencipta. Namun begitu, Allah tidak menjadikan kekurangan pada hamba-Nya dengan sesuatu yang sia-sia. Bak kata pepatah Melayu, ‘menggenggam bara api biar sampai menjadi arang’. Oleh itu, kita sebagai hamba-Nya seharusnya menjadikan kekurangan pada diri sebagai satu bentuk cabaran untuk mengatur langkah ke depan bagi merealisasikan segunung impian.

Item Details
Edit Item
Edit Item
Downloads & Files
[thumbnail of 148737.pdf]
Text
148737.pdf
Download (4MB)
Indexing & Metrics