Teks ucapan sempena Bertam Career Spark Showcase 2024

Mohd Noor, Mohamad Azhar (2024) Teks ucapan sempena Bertam Career Spark Showcase 2024. In: Bertam Career Spark Showcase 2024, 18 JUN 2024, Ptar UiTM Bertam. (Unpublished)
Abstract

Syukur, Alhamdulillah, saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita diberi kesempatan, ruang dan peluang untuk berkumpul di PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam pada hari ini bagi menjayakan Program Bertam Career Spark Showcase 2024. Program pembangunan kerjaya dan penempatan ini merupakan salah satu elemen penting dalam memberi kesedaran kepada para mahasiswa tentang kepentingan persediaan memasuki gerbang kerjaya pilihan, selari dengan bidang yang telah dipelajari sepanjang berada di kampus, khususnya di Kampus Bertam ini. Lebih dari itu, saya difahamkan bahawa program ini adalah program perintis yang mengumpulkan semua pemain industri sains kesihatan. Mereka bukan sahaja membuat pameran, malah menawarkan peluang pekerjaan kepada bakal graduan sains kesihatan dan farmasi UiTM Kampus Bertam. Syabas kepada penganjur dan terima kasih saya ucapkan kepada semua wakil industri. Hadirin yang dihormati sekalian, Program kerjaya ini adalah satu kaedah untuk memastikan pelajar yang bakal menamatkan pengajian dapat menggarap peluang pekerjaan selari dengan bidang mereka. Ini adalah sejajar dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi yang menekankan kebolehpasaran graduan sebagai indikator keberhasilan sistem pengajian tinggi di Malaysia, serta meningkatkan taraf ekonomi setempat dan negara. Kementerian Pengajian Tinggi telah menetapkan kebolehpasaran graduan sebagai salah satu fokus utama dalam agenda pendidikan tinggi negara. Kebolehpasaran graduan bukan sahaja mencerminkan kualiti pendidikan yang diberikan, tetapi juga kesesuaian kurikulum dengan keperluan industri. Oleh itu, adalah penting bagi institusi pengajian tinggi seperti UiTM untuk terus memperkukuh hubungan baik dengan pihak industri dan memastikan program pengajian yang ditawarkan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa. Hadirin yang dihormati sekalian, Untuk memastikan kebolehpasaran graduan, pihak universiti perlu sentiasa peka terhadap perkembangan dan perubahan dalam industri. Melalui kerjasama erat dengan industri, universiti dapat mengenalpasti kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh majikan, serta menyesuaikan kurikulum dan program latihan supaya graduan kita lebih bersedia untuk memenuhi keperluan pasaran kerja. Satu lagi aspek penting dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan adalah pendedahan kepada pengalaman praktikal melalui latihan industri, program praktikal, dan projek kolaboratif dengan industri. Pengalaman praktikal ini tidak hanya membekalkan mahasiswa dengan kemahiran teknikal, tetapi juga kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan, dan penyelesaian masalah yang amat dihargai oleh majikan.

Item Details
Edit Item
Edit Item
Downloads & Files
[thumbnail of 148494.pdf]
Text
148494.pdf
Download (59kB)
Indexing & Metrics