Teks ucapan sempena Bengkel Aspirasi bersama Penolong Rektor UiTMCPP Kampus Bertam

Mohd Noor, Mohamad Azhar (2024) Teks ucapan sempena Bengkel Aspirasi bersama Penolong Rektor UiTMCPP Kampus Bertam. In: Bengkel Aspirasi Bersama Penolong Rektor Uitmcpp Kampus Bertam, 21 NOVEMBER 2024, Dewan Kuliah 2, Uitm Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam.
Abstract

Pertama sekali, marilah kita bersama-sama mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya, kita dapat berkumpul pada hari yang bermakna ini. Kehadiran saudara dan saudari sekalian dalam program ini melambangkan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kekuatan UiTM Kampus Bertam sebagai satu keluarga besar. Program yang bermula sejak pagi tadi dengan aktiviti rewang di dewan terbuka adalah bukti kukuh bahawa semangat gotong-royong masih utuh dalam kalangan kita. Sama ada menyediakan makanan, menghias dewan, atau menyusun persiapan, setiap usaha yang dilakukan bersama menjadi simbol kepada nilai tolong-menolong yang kita amalkan. Kebersamaan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara kita tetapi juga menjadi pengajaran bahawa tiada tugas yang terlalu besar jika diselesaikan secara kolektif. Dalam sebuah keluarga, saling membantu adalah kunci untuk menjayakan sesuatu, sama seperti di tempat kerja, di mana kejayaan hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat. Hadirin yang dihormati sekalian, Pada hari yang istimewa ini, kita juga mengambil peluang untuk menghargai dua warga UiTM Bertam yang telah banyak berjasa kepada kampus kita yang bakal bersara tidak lama lagi. Pertama, Puan Ropishah Idris, Penolong Pegawai Sains dari Fakulti Farmasi, seorang individu yang sentiasa menunjukkan dedikasi tinggi dalam menjalankan tugas. Beliau telah berkhidmat dengan UiTM selama 16 tahun. Pada tahun 2008 hingga 2010, beliau bertugas di UiTM Shah Alam dan Puncak Alam, sebelum berpindah ke UiTM Kampus Bertam pada tahun 2011 sehingga kini. Komitmen beliau terhadap pelajar dan bidang farmasi telah memberi impak besar kepada fakulti dan kampus ini secara keseluruhannya. Kedua, Encik Amir Heberd Abdullah, yang bukan sahaja seorang pensyarah Program Keselamatan Persekitaran FSK, tetapi juga mantan Penolong Rektor Kampus Bertam. Pengalaman kerja yang luas bermula daripada PKD di Pekan, Pahang, kemudian di Majlis Daerah Selama, Perak. Seterusnya dedikasi beliau berkhidmat selama 17 tahun di Majlis Perbandaran Pulau Pinang sebelum menyertai UiTM dari tahun 2010 hingga kini iaitu selama 14 tahun. Kepimpinan dan dedikasi beliau telah meninggalkan kesan mendalam terhadap pembangunan kampus ini. Walaupun mereka bakal bersara, sumbangan dan legasi mereka akan terus menjadi inspirasi kepada kita semua.

Item Details
Edit Item
Edit Item
Downloads & Files
[thumbnail of 148491.pdf]
Text
148491.pdf
Download (58kB)
Indexing & Metrics