Ai vs real designer

Mohd Khalis, Faryna (2025) Ai vs real designer. Bulletin. Universiti Teknologi MARA, Kedah.
Abstract

Perkembangan kecerdasan buatan (Artificial Intelligent - AI) telah memberi impak besar terhadap dunia reka bentuk kontemporari. AI kini mampu menghasilkan imej, logo, ilustrasi, bahkan konsep seni dalam masa beberapa saat sahaja. Fenomena ini menimbulkan perbandingan yang ketara antara hasil kerja AI dengan hasil karya pereka asli/ sebenar (real designer) iaitu manusia. Persoalan yang timbul ialah sama ada AI mampu menggantikan peranan pereka manusia, atau sekadar menjadi alat tambahan yang menyokong kreativiti. AI mempunyai kelebihan dari segi kelajuan dan kecekapan. Melalui algoritma generatif, ia mampu menghasilkan ratusan variasi reka bentuk hanya dalam satu klik. AI juga mempunyai keupayaan menganalisis data dan trend global secara automatik, sekali gus mencadangkan gaya reka bentuk yang sesuai dengan pasaran semasa. Sebagai contoh, aplikasi ‘text-toimage’ seperti MidJourney atau DALL·E mampu menukar arahan teks ringkas menjadi visual yang kompleks. Selain itu, AI membuka peluang untuk pelbagai latar belakang pereka, di mana individu tanpa kemahiran teknikal juga boleh menghasilkan karya visual dengan mudah. Hal ini memberi akses lebih luas kepada masyarakat umum untuk terlibat dalam dunia kreatif. Walaupun AI sangat canggih, pereka sebenar masih mempunyai kelebihan yang tidak dapat ditandingi. Pereka sebenar membawa emosi, konteks budaya, dan nilai estetika peribadi ke dalam karya mereka. AI hanya boleh meniru gaya berdasarkan data yang wujud, tetapi tiada pemahaman makna mendalam atau simbolik dalam sesuatu reka bentuk. Seterusnya pereka sebenar lebih fleksibel dalam menyelesaikan masalah secara kritis. Dalam proses reka bentuk sebenar, pelanggan sering memerlukan penyesuaian, rundingan, dan penerapan nilai identiti jenama. Aspek ini menuntut empati, komunikasi, dan pemikiran manusia yang sukar digantikan oleh mesin, robot atau apa jua teknologi. Pereka sebenar berfungsi sebagai penjaga originality identiti. Mereka mampu menghasilkan gaya unik yang lahir daripada pengalaman hidup sendiri, pengaruh budaya, dan kreativiti individu. Hal ini menjadikan hasil karya mereka lebih autentik dan beridentiti. Walau bagaimanapun, apa yang perlu diberi perhatian adalah konflik utama antara AI dan pereka sebenar ialah isu hak cipta dan keaslian. Banyak karya AI dihasilkan berdasarkan set data yang mengambil inspirasi daripada artis atau pereka sedia ada tanpa kebenaran. Ini menimbulkan persoalan etika sama ada karya AI boleh dianggap asli atau sekadar tiruan. Selain itu, terdapat juga kebimbangan bahawa AI boleh menggantikan sebahagian pekerjaan kreatif, terutama dalam bidang grafik komersial yang berasaskan produktiviti tinggi. Jika hal ini berterusan, pereka sebenar mungkin lama kelamaan akan kehilangan ruang untuk berkarya, kecuali mereka mampu menyesuaikan diri dengan teknologi. Namun begitu, ada juga peluang untuk kolaborasi antara AI dan pereka sebenar di mana kerjasama ini boleh memberi manfaat juga kepada golongan pereka sebenar. AI boleh berfungsi sebagai alat bantu mempercepat proses prototaip, sementara pereka tetap menjadi pengarah kreatif yang menilai, memperhalusi, dan memberi nilai tambah manusiawi kepada reka bentuk tersebut. Pertembungan antara AI dan pereka sebenar bukan sekadar isu teknologi, tetapi juga menyentuh aspek etika, originality, dan nilai kemanusiaan dalam seni. AI menawarkan kelajuan, akses, dan inovasi, manakala pereka sebenar membawa kreativiti, empati, dan makna budaya. Oleh itu, masa depan dunia reka bentuk bergantung kepada keseimbangan antara kemampuan mesin dan sentuhan manusia, di mana AI dilihat sebagai rakan kongsi, bukan pengganti sepenuhnya kepada pereka sebenar.

Item Details
Edit Item
Edit Item
Downloads & Files
[thumbnail of 148083.pdf]
Text
148083.pdf
Download (743kB)
Indexing & Metrics