Dari meja Koordinator

Mohd Zin, Azrinawati (2026) Dari meja Koordinator. Bulletin. Unit Penerbitan Jabatan Sains Gunaan, UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Abstract

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT atas limpahan rahmat dan inayah-Nya yang membolehkan kita sekali lagi menerbitkan Buletin Jabatan Sains Gunaan (JSG) Edisi 2026. Buletin ini terus kekal relevan sebagai wadah perkongsian ilmu, hebahan maklumat, dan dokumentasi pencapaian cemerlang warga jabatan sepanjang tahun 2025. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai platform buat para pensyarah berkongsi karya, hasil penyelidikan, serta pengalaman mereka yang bermanfaat buat semua.
Menelusuri perjalanan sepanjang tahun 2025, saya berasa amat bersyukur atas komitmen luar biasa yang dipamerkan oleh seluruh warga JSG. Sejak mula memegang amanah sebagai Koordinator pada Ogos 2024, sokongan padu dan kerjasama erat daripada setiap warga jabatan amat memudahkan urusan pentadbiran saya. Semangat kerja berpasukan ini jelas terpancar melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang berjaya dilaksanakan, termasuk penganjuran bengkel-bengkel penulisan akademik serta program khidmat masyarakat yang menyantuni golongan asnaf, anak yatim, warga emas, dan anak-anak istimewa. Selain itu, ukhuwah dalam kalangan warga jabatan turut diperkukuh menerusi penganjuran Hari Keakraban JSG yang bertemakan “Setiap irisan membawa nilai berpasukan”.
Kejayaan warga JSG sepanjang tahun 2025 dalam bidang inovasi juga amat membanggakan, apabila berjaya merangkul pelbagai anugerah termasuk pingat Perak, Emas dan Diamond. Lebih membanggakan, selain menerima Anugerah Pencapaian Strategik 2024 sempena Hari Inovasi dan Kualiti UiTM Cawangan Pulau Pinang 2025, jabatan kita turut meraih dua anugerah dalam Anugerah Cendekiawan Epitome (ACe’ 2024), iaitu bagi Kategori Harta Intelek Terbaik Fakulti & Jabatan serta Kategori Jaringan Komuniti Berimpak Tinggi Terbaik Fakulti & Jabatan (Projek Komuniti Bertaraf Tiga Bintang). Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat atas dedikasi, komitmen, dan sumbangan bermakna yang telah diberikan.
Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Ketua Editor Buletin JSG Edisi 2026 serta seluruh sidang redaksi atas usaha gigih dalam memastikan buletin ini diterbitkan dengan kualiti terbaik. Saya berharap agar kecemerlangan, profesionalisme, dan integriti akan terus menjadi teras kekuatan jabatan ini dalam melakar lebih banyak kejayaan gemilang pada masa hadapan demi kecemerlangan Jabatan Sains Gunaan dan UiTM Cawangan Pulau Pinang.

Item Details
Edit Item
Edit Item
Downloads & Files
[thumbnail of 145241.pdf]
Text
145241.pdf
Download (1MB)
Indexing & Metrics
Download Statistics