Perbezaan budaya menjadi satu daripada masalah dalam terjemahan termasuklah terjemahan sari kata. Ditambah pula dengan keterbatasan perkataan serta baris sari kata. Sehubungan itu, satu kajian dijalankan untuk mengkaji terjemahan budaya dalam bahasa Melayu dan terjemahannya dalam sari kata bahasa Inggeris filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula. Kajian dijalankan berdasarkan tiga objektif kajian iaitu (i) mengenal pasti unsur budaya dalam filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula (ii) menganalisis prosedur terjemahan budaya dalam sari kata filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula dan (iii) menghurai jenis padanan terjemahan budaya dalam sari kata filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula. Analisis kandungan dan analisis perbandingan digunakan sebagai kaedah kajian dalam kajian yang berbentuk kualitatif. Kategori Budaya oleh Newmark (1988), Prosedur Terjemahan oleh Newmark (1988) dan Padanan Terjemahan oleh Koller (1979) digunakan sebagai kerangka teori dalam kajian ini. Filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula yang diterbitkan pada tahun 2009 dijadikan sebagai bahan kajian. Dapatan kajian menunjukkan budaya dalam filem animasi ini dapat dikategorikan kepada empat kategori iaitu (i) ekologi, (ii) material, (iii) sosial dan (iv) organisasi, adat, aktiviti, prosedur atau konsep. Kategori budaya material serta budaya sosial menunjukkan kekerapan tertinggi iaitu sebanyak 28 dapatan (31.5%), manakala budaya ekologi merupakan kekerapan terendah iaitu sebanyak 12 dapatan (13.5%). Dapatan menunjukkan unsur budaya material seperti makanan dan minuman serta budaya sosial seperti kelas masyarakat paling banyak dikenal pasti dalam filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula. Hasil analisis juga menunjukkan bahawa sembilan prosedur terjemahan digunakan untuk menterjemah kesemua unsur budaya. Prosedur terjemahan literal menunjukkan kekerapan tertinggi dengan dapatan sebanyak 34 dapatan (38.2%), manakala prosedur terjemahan penggantian merupakan kekerapan terendah dengan dapatan sebanyak 1 dapatan (1.1%). Dapatan kajian menunjukkan bahawa prosedur terjemahan literal paling kerap digunakan dalam menterjemah unsur budaya ke dalam sari kata filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula kerana penyari kata mengekalkan makna dan struktur dalam bahasa sumber ke dalam bahasa sasaran. Dapatan juga menunjukkan bahawa kesemua budaya dalam filem animasi ini diterjemahkan menggunakan empat jenis padanan iaitu (i) padanan denotasi, (ii) padanan konotasi, (iii) padanan pragmatik, dan (iv) padanan formal. Padanan denotasi merupakan jenis padanan yang paling kerap penggunaannya dengan dapatan sebanyak 50 dapatan (56.2%), manakala padanan terjemahan konotasi adalah kekerapan terendah dengan dapatan sebanyak tujuh dapatan (7.9%). Padanan denotasi digunakan paling dominan kerana padanan terjemahan dalam bahasa sasaran telah tersedia dan mudah difahami tanpa mengubah makna asal. Kajian ini diharapkan dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada bidang penterjemahan audiovisual, khususnya dalam mempertingkatkan mutu terjemahan sari kata serta kefahaman penonton terhadap kandungan antara budaya.
| Item Type: | Thesis (Masters) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Mohd Fazil, Siti Hajar UNSPECIFIED |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Thesis advisor Husin, Norhazlina UNSPECIFIED |
| Subjects: | P Language and Literature > P Philology. Linguistics > Language. Linguistic theory. Comparative grammar > Translating and interpreting P Language and Literature > PN Literature (General) > Motion pictures > Animated films |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Shah Alam > Academy of Language Studies |
| Programme: | Master in Applied Language Studies |
| Keywords: | Audiovisual translation, Subtitling, Cultural elements, Translation procedures, Translation equivalence, Geng: Pengembaraan Bermula, Newmark, Koller |
| Date: | May 2026 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/145054 |
145054_fulltext.pdf
Available under License Dasar Harta Intelek UiTM (Para 6).
declarationform.pdf
Restricted to Repository staff only

