Abstract
Menurut Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1989, kanak-kanak diberi hak untuk bersuara dan menyatakan pandangan dalam urusan melibatkan mereka. Ini termasuklah dalam prosiding kehakiman melibatkan urusan penjagaan (hadanah) selepas ibu bapa bercerai. Secara dasarnya, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa kanakkanak berhak menyatakan pandangan dengan siapa mereka ingin tinggal apabila mereka mencapai umur tertentu yang dianggap mumaiyiz. Namun begitu, undang-undang tidak menjelaskan bagaimana proses mendapatkan pendapat mereka perlu dilaksanakan dan sejauh mana pandangan mereka perlu diikuti oleh pihak mahkamah. Kajian ini bertujuan mengkaji konsep hadanah dan kedudukan pendapat kanak-kanak menurut perspektif Islam dan triti antarabangsa, menganalisa peruntukan undang-undang dan amalan kes hadanah dan pelaksanaan pendapat kanak-kanak di Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia berdasarkan zon, mengkaji amalan kes penjagaan anak dan pandangan kanak-kanak di negara terpilih sebagai panduan pengajaran dan mencadangkan penambahbaikan ke arah pemerkasaan pelaksanaan proses kanak-kanak memberikan pendapat dalam kes hadanah di Mahkamah Syariah. Dengan mengguna pakai metodologi penyelidikan undang-undang kualitatif di mana data diperolehi daripada bahan kepustakaan, 125 kes Mahkamah Syariah di Malaysia mengikut zon dari tahun 2016-2022, temu bual semi struktur bersama informan yang terdiri daripada hakim syarie, Peguam syarie, pegawai sulh dan pegawai Kebajikan dan data dianalisa secara tematik mengunakan perisian Atlas-ti. Kajian ini mendapati wujud ketidakseragaman amalan dalam mengendalikan proses melibatkan pendapat kanak-kanak dalam kes hadanah kerana tiada panduan terperinci yang memandu mahkamah dalam memastikan hak kanak-kanak ini terpelihara sebaiknya. Berdasarkan pendapat daripada informan dan merujuk kepada amalan di beberapa buah negara terpilih iaitu Australia, New Zealand dan Singapura, kajian ini mencadangkan penambahbaikan dilaksanakan dengan penggubalan satu garis panduan yang seragam bagi membantu hakim syarie dalam pelaksanaan pendapat kanak-kanak mumaiyiz. Ia dapat memperkasakan pelaksanaan hak kanak-kanak di Mahkamah Syariah serta menjaga kepentingan kanakkanak menyatakan pendapat dan memberikan pilihan dalam kes hadanah melibatkan diri mereka, selari dengan Perkara 12 UNCRC 1989.
Metadata
| Item Type: | Thesis (PhD) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Ngatiman, Shanizah 2019637128 |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Thesis advisor Muhammad Hashim, Nurhidayah UNSPECIFIED |
| Subjects: | K Law > K Law in general. Comparative and uniform law. Jurisprudence K Law > KBP Islamic law. Sharī'ah. Fiqh |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Shah Alam > Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS) |
| Programme: | Doktor Falsafah (Pengajian Islam Kontemporari) |
| Keywords: | Hadanah, Mahkamah Syariah Malaysia, Hak kanak-kanak |
| Date: | 2025 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/144106 |
Download
144106.pdf
Download (200kB)
Digital Copy
Physical Copy
ID Number
144106
Indexing
