Abstract
Penguasaan tatabahasa bahasa Arab adalah penting bagi mencapai kemahiran berbahasa seperti kemahiran menulis dan bertutur. Kajian-kajian lepas telah menemui para pelajar masih belum menguasai dengan baik beberapa aspek tatabahasa Arab. Oleh itu, kajian ini bertujuan bagi mengenal pasti urutan penguasaan tatabahasa bahasa Arab pelajar dan kaedah pengajaran yang diamalkan oleh guru bahasa Arab dalam pengajaran dan pembelajaran tatabahasa bahasa Arab. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kualitatif dengan memfokuskan kepada kajian kes pelbagai tempat. Bagi mencapai objektif kajian, data dikumpul melalui kaedah temu bual semi struktur dengan menggunakan persampelan bertujuan. Teknik analisis tematik digunakan bagi proses penganalisisan data dengan menggunakan aplikasi perisian Nvivo 12. Sampel kajian yang terlibat terdiri daripada sepuluh orang pelajar tingkatan empat dan sembilan orang guru bahasa Arab. Pemilihan responden adalah daripada beberapa buah sekolah yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) sekitar negeri Perlis dan Kedah. Hasil kajian membuktikan bahawa terdapat urutan penguasaan al-kalimāt dan at-tarākīb yang mudah dan sukar dikuasai pelajar. Bagi pembahagian al-kalimāt, dapatan kajian menunjukkan bahawa kata nama muzakkar lebih mudah dikuasai berbanding kata nama muannath. Selain itu, untuk aspek kata nama bilangan, para pelajar lebih mudah menguasai mufrad berbanding kata nama muthannā dan jama'. Bagi urutan kata nama jama' pula, dapatan kajian mendapati jama' muzakkar sālim paling mudah dikuasai pelajar berbanding jama' muannath sālim dan paling sukar dikuasai ialah jama' taksīr. Seterusnya bagi kata kerja, dapatan kajian menunjukkan bahawa kata kerja māḍī paling mudah dikuasai berbanding kata kerja muḍāri' dan kata kerja amar. Urutan penguasaan tatabahasa dalam pembahagian attarākīb pula menunjukkan bahawa pelajar lebih mudah menguasai al-jumlaṯ al-fi'liyyaṯ berbanding al-jumlaṯ al-ismiyyaṯ manakala bagi pembinaan frasa pula, pelajar lebih mudah menguasai at-tarkīb an-na'tī berbanding at-tarkīb al-iḍāfī. Selain itu, dapatan kajian turut membuktikan terdapat kepelbagaian kaedah dan metode pengajaran tatabahasa yang diamalkan oleh guru bahasa Arab merangkumi kaedah pengajaran berpusatkan guru seperti kaedah syarahan, kaedah naḥwū terjemahan dan kaedah pengulangan (at-tikrār) serta kaedah pengajaran berpusatkan pelajar seperti kaedah guru muda, kaedah nyanyian dan kaedah latih tubi. Justeru, hasil kajian ini dapat dijadikan panduan dan rujukan kepada ahli akademik serta menyumbang kepada penyusunan kurikulum tatabahasa bahasa Arab mengikut urutan penguasaan pelajar di samping dapat memberi cadangan kepada para guru dalam merancang dan menggunakan kaedah pengajaran berasaskan urutan penguasaan pelajar dalam pedagogi tatabahasa bahasa Arab.
Metadata
| Item Type: | Thesis (Masters) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Mohamad Zaki, Mohamad Fathie 2021418912 |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Thesis advisor Abdul Pisal, Nadhilah UNSPECIFIED |
| Subjects: | L Education > L Education (General) L Education > LB Theory and practice of education |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Shah Alam > Academy of Language Studies |
| Programme: | Master in Applied Language Studies |
| Keywords: | Urutan penguasaan, tatabahasa bahasa Arab, kaedah pengajaran, guru Malaysia |
| Date: | 2025 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/143816 |
Download
143816.pdf
Download (141kB)
Digital Copy
Physical Copy
ID Number
143816
Indexing
