Abstract
Kajian ini bertujuan meneliti pengaruh pengetahuan budaya terhadap motivasi dan pengajaran guru bahasa Arab di Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di tiga negeri terpilih di semenanjung Malaysia. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian campuran selari (convergent parallel mixed method design) yang menggabungkan pendekatan kajian kuantitatif dan kajian kualitatif bagi memperoleh pemahaman yang mendalam dan menyeluruh terhadap isu dan fenomena yang dikaji. Responden kajian bagi komponen kuantitatif melibatkan 262 orang guru bahasa Arab melalui penggunaan soal selidik, manakala informan kajian bagi komponen kualitatif melibatkan lima orang pakar bahasa Arab yang terdiri daripada pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Guru Cemerlang Bahasa Arab melalui temu bual separa berstruktur. Analisis data kuantitatif menggunakan perisian SmartPLS 4.0 menunjukkan bahawa pengetahuan budaya mempunyai hubungan positif dan signifikan terhadap pengajaran guru (β = 0.704, p < 0.001), manakala motivasi guru juga memberi kesan yang signifikan terhadap pengajaran guru (β = 0.703, p < 0.001). Selain itu, motivasi guru berperanan sebagai pemboleh ubah mediasi separa yang signifikan dalam hubungan antara pengetahuan budaya dan pengajaran guru (β = 0.495, p < 0.001). Sementara itu, analisis data kualitatif menggunakan perisian ATLAS.ti versi 8 mendapati bahawa guru bahasa Arab yang memiliki pengetahuan budaya yang tinggi lebih cenderung mengintegrasikan budaya Arab dalam pengajaran bahasa Arab serta mampu membina persekitaran pembelajaran yang lebih kontekstual, autentik dan bermakna. Temu bual pakar turut mengenal pasti pelbagai usaha, cabaran dan faktor yang mempengaruhi keberkesanan pengajaran bahasa berunsurkan budaya Arab. Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini memperkukuh kefahaman bahawa pengetahuan budaya merupakan elemen penting dalam meningkatkan motivasi guru dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti pengajaran bahasa Arab dalam bilik darjah. Model Pengajaran Budaya Arab yang dicadangkan turut memberikan implikasi signifikan terhadap pengembangan teori, amalan pengajaran guru serta perumusan dasar pendidikan yang lebih fleksibel, kontekstual dan responsif terhadap budaya. Kajian ini juga menyokong pengaplikasian prinsip-prinsip dalam Model Kompetensi Komunikasi Antara Budaya oleh Michael Byram (1997), Self-Determination Theory oleh Deci dan Ryan (2000), serta Teori Pengajaran Budaya oleh Rushdi Ahmad Thuaimah (2004) dalam konteks pendidikan bahasa Arab di Malaysia.
Metadata
| Item Type: | Thesis (PhD) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Isa, Yazid UNSPECIFIED |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Thesis advisor Abdullah, Ibrahim UNSPECIFIED Thesis advisor Almudin, Azhani UNSPECIFIED |
| Subjects: | L Education > LB Theory and practice of education > Teaching (Principles and practice) P Language and Literature > P Philology. Linguistics > Language and education |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Shah Alam > Academy of Language Studies |
| Programme: | Doktor Falsafah (Pengajian Bahasa Gunaan) |
| Keywords: | Pengetahuan Budaya, Motivasi Guru, Pengajaran Guru, Bahasa Arab, Pengajaran Budaya |
| Date: | May 2026 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/142732 |
Download
142732_fulltext.pdf
Available under License Dasar Harta Intelek UiTM (Para 6).
Download (25MB)
declarationform.pdf
Restricted to Repository staff only
Download (360kB)
Digital Copy
Physical Copy
ID Number
142732
Indexing
