Abstract
Pada tanggal 30 September 2025, kami daripada geng BFF yang terdiri daripada Wan, Azlina dan Rafizah telah merancang satu lawatan santai tetapi penuh bermakna ke Wonderfood Museum yang terletak di tengah-tengah bandar bersejarah George Town. Lawatan ini bukan sahaja bertujuan untuk bersiar-siar, malah untuk menambah pengetahuan tentang keunikan dan kepelbagaian makanan tradisional Malaysia yang menjadi kebanggaan rakyat. Seawal pagi lagi kami sudah berkumpul dengan penuh semangat, masing-masing tidak sabar untuk memulakan perjalanan. Untuk ke sana, pengunjung boleh memilih sama ada menaiki kereta atau feri ke Pulau Pinang. Kami memilih untuk menaiki feri kerana ingin merasai pengalaman menyusuri laut sambil menikmati pemandangan indah sekitar. Setibanya di Terminal Feri Pulau Pinang, kami mendapati jarak ke muzium tersebut hanyalah kira-kira satu kilometer sahaja. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki sambil menikmati suasana bandar yang kaya dengan bangunan warisan dan mural seni yang unik. Sepanjang perjalanan, kami sempat mengambil beberapa keping gambar sebagai kenangan. Setibanya kami di hadapan muzium, perhatian kami terus tertumpu kepada replika gergasi Ais Cendol yang menghiasi pintu masuk. Replika tersebut kelihatan begitu realistik dengan warna dan tekstur yang menyerupai hidangan sebenar, seolah-olah mampu mengundang sesiapa sahaja untuk menikmatinya. Perasaan teruja jelas terpancar di wajah kami kerana tidak sabar untuk mengetahui kejutan lain yang menanti di dalam muzium makanan tersebut. Sebaik melangkah masuk, kami disambut dengan kaunter tiket serta beberapa replika makanan bersaiz besar seperti kuih bulan dan gerai jualan Merry Ice Cream yang begitu menarik perhatian. Harga tiket untuk ke Wonderfood Museum adalah RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak. Tanpa melepaskan peluang, kami menikmati aiskrim terlebih dahulu sebelum memulakan penerokaan. Suasana di dalam muzium sangat ceria dengan hiasan berwarna-warni serta susun atur yang kemas dan teratur. Pengunjung turut diberi peluang untuk bergambar bersama replika-replika makanan yang dipamerkan, sekali gus menjadikan pengalaman lawatan lebih menyeronokkan, interaktif dan penuh makna. Setiap sudut pameran yang unik dan kreatif seolah-olah direka khas untuk merakam detik-detik istimewa, sama ada di sisi hidangan bersaiz gergasi mahupun di hadapan dekorasi yang berwarna-warni dan menarik perhatian. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil pelbagai gambar kenangan bersama, merakam senyuman dan gelak tawa yang tercipta sepanjang lawatan tersebut. Bagi kami, setiap foto yang diambil bukan sekadar gambar biasa, tetapi menjadi simbol kenangan manis dan pengalaman berharga yang akan sentiasa terpahat dalam ingatan.
Metadata
| Item Type: | Monograph (Bulletin) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Wan Mohammad, Wan Anisha UNSPECIFIED Mohd Mydin, Azlina UNSPECIFIED |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Advisor Abd Rahman, Nor Hanim UNSPECIFIED Chief Editor Abu Mansor, Siti Nurleena UNSPECIFIED |
| Subjects: | L Education > LG Individual institutions > Asia > Malaysia > Universiti Teknologi MARA > Pulau Pinang L Education > LG Individual institutions > Asia > Malaysia > Universiti Teknologi MARA |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Pulau Pinang > Permatang Pauh Campus |
| Journal or Publication Title: | e-Buletin JSKM |
| ISSN: | 2637-0077 |
| Keywords: | Wonderfood Museum, Replika makanan, Kenangan |
| Date: | April 2026 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/141274 |
