Abstract
Sebagai seorang pendidik, terdapat satu hakikat yang tidak dapat dinafikan iaitu zaman sentiasa berubah. Seiring dengan perubahan tersebut, pendidik juga perlu menyesuaikan diri, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Kaedah dan pendekatan yang dianggap berkesan pada suatu ketika dahulu mungkin tidak lagi sesuai untuk diaplikasikan pada masa kini, selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa. Jika kita mengimbau kembali detik awal melangkah ke bilik kuliah sebagai seorang pendidik, suasananya amat berbeza berbanding hari ini. Bukan sahaja usia yang semakin meningkat, malah landskap pembelajaran dan suasana di dalam kelas juga telah banyak berubah. Jika dahulu kita melangkah masuk ke kelas dengan semangat "muda-mudi", kini walaupun usia bertambah, semangat untuk mendidik dan membimbing anak bangsa tetap kekal teguh. Perubahan ini dapat dilihat melalui beberapa aspek utama:
Pendidik dan Teknologi:
Suatu masa dahulu, peranan pendidik begitu jelas. Pendidik merupakan sumber utama untuk mendapatkan ilmu. Kini, teknologi menjadi sebahagian daripada kehidupan pelajar. Segalanya di hujung jari. Pelajar bebas mencari ilmu bila-bila masa, dan di mana sahaja.
Marker Pen dan Skrin Sentuh:
Alat bantu mengajar sentiasa memainkan peranan penting dalam keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Jika suatu ketika dahulu tangan yang "comot" dengan kesan marker pen menjadi lambang kesungguhan seorang pendidik di hadapan papan putih, kini cabaran yang dihadapi adalah memastikan peranti digital, sambungan internet, dan peralatan teknologi berfungsi dengan baik bagi menyokong proses pembelajaran.
Mencatat nota dan Dokumentasi Digital:
Sebagai pelajar, mencatat nota yang diberikan oleh pensyarah merupakan perkara penting yang perlu dilakukan ketika berada di dalam kelas. Nota-nota yang disalin dihias dengan pen pelbagai warna agar nampak lebih menarik untuk dibaca. Kini, pelajar-pelajar lebih cenderung untuk mengambil gambar nota tersebut menggunakan telefon bimbit masing-masing. Bunyi "Snap" dari kamera telefon atau bunyi "screenshot" dari skrin tablet hanya kedengaran di dalam kelas.
Bersua muka dan Komunikasi Digital:
Pada masa lalu, pelajar lazimnya berjumpa pensyarah secara bersemuka untuk mendapatkan penjelasan atau bertanya soalan. Kini, komunikasi lebih banyak berlaku melalui aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram. Notifikasi mesej boleh diterima pada bila-bila masa tanpa mengira waktu. Keadaan ini menjadikan komunikasi lebih pantas dan terbuka, namun pada masa yang sama memerlukan kebijaksanaan pendidik dalam menetapkan batas profesional. Kadang-kadang, mesej WhatsApp diterima pada pukul 10 malam bertanyakan "Madam, esok ada kelas tak?". Segelintir pelajar lebih berani bersuara dan merasakan pensyarah lebih terbuka dan santai.
Google dan ChatGPT:
Google dianggap sebagai kawan baik satu ketika dahulu. Ia merupakan satu-satunya solusi terbaik yang mudah digunakan untuk mencari maklumat dan menyelesaikan permasalahan akademik. Kini, para pelajar lebih tertarik dengan penggunaan ChatGPT sehinggakan ada yang menggunakan ChatGPT untuk menyelesaikan tugasan mereka.
Metadata
| Item Type: | Monograph (Bulletin) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Samsudin, Norshuhada UNSPECIFIED |
| Contributors: | Contribution Name Email / ID Num. Advisor Abd Rahman, Nor Hanim UNSPECIFIED Chief Editor Abu Mansor, Siti Nurleena UNSPECIFIED |
| Subjects: | L Education > LG Individual institutions > Asia > Malaysia > Universiti Teknologi MARA > Pulau Pinang L Education > LG Individual institutions > Asia > Malaysia > Universiti Teknologi MARA |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Pulau Pinang > Permatang Pauh Campus |
| Journal or Publication Title: | e-Buletin JSKM |
| ISSN: | 2637-0077 |
| Keywords: | Transformasi pendidikan, Integrasi teknologi, Komunikasi digital |
| Date: | April 2026 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/141139 |
