Abstract
KUALA LUMPUR: Enam agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM mengukuhkan kerjasama strategik dalam membanteras gejala rasuah dan integriti kewangan secara menyeluruh. Ia menerusi Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) yang menggabungkan kepakaran pelbagai agensi sekaligus melindungi sistem kewangan negara daripada dieksploitasi jenayah penipuan. Dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, agensi KKFP juga membabitkan Jabatan Audit Negara (JAN), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Universiti Teknologai MARA (UiTM). Turut menyertai KKFP, organisasi profesional, Institut Akauntan Malaysia (MIA). Menurut Azam, gabungan kepakaran, data dan sistem kawalan agensi terlibat menjadi pelengkap penting dalam memperkukuh siasatan dan tindakan pencegahan SPRM secara lebih menyeluruh dan berkesan. “Maka, penubuhan KKFP bukan sekadar inisiatif baharu. Ianya adalah merupakan evolusi antara SPRM dan rakan strategik hasil daripada hubungan yang telah dibina sekian lama, yang kini dizahirkan secara lebih tersusun dan sistematik dalam satu kerangka kerja nasional. Dengan penyatuan ini, SPRM dapat memanfaatkan fungsi, maklumat dan kepakaran semua agensi terlibat dalam menangani jenayah kewangan secara kolektif, sejak dari pencegahan awal, pengesanan, penyiasatan hingga kepada pemulihan aset”, katanya. Menurut beliau, dalam suasana semasa yang mana isu perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar masih menjadi fokus SPRM, KKFP tampil menjadi antara pemacu penyelesaian. “Ia dibentuk bukan sekadar untuk menyelaras, tetapi untuk menyelusuri titik-titik buta yang sering menjadi medan manipulasi – dokumen perniagaan yang dipalsukan, rekod kewangan yang dimanipulasi, atau kawalan dalaman yang longgar. Dengan kolaborasi pelbagai agensi, KKFP mampu menjadi mata tambahan yang melihat di luar angka; menjadi sistem amaran awal yang mengesan ketirisan dalam perolehan dan agihan dana awam; dan menjadi pemangkin reformasi dalam penyampaian laporan kewangan yang telus dan bertanggungjawab”, katanya. Azam berucap sempena Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) di ibu negara pagi tadi. Hadir sama Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad. Jelas beliau, tiga teras utama KKFP yang ditubuhkan sejak 14 Ogos 2024 ialah mewujudkan kolaborasi antara agensi dan badan awam bagi memperkukuh perkongsian maklumat, tipologi jenayah serta analisis trend semasa melibatkan fraud perakaunan. “Di Malaysia hari ini, kita menyaksikan bagaimana kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan kerugian ratusan juta ringgit berpunca daripada kelemahan sistem kawalan dalaman, laporan kewangan yang gagal mencerminkan realiti, dan kegagalan pelaporan tepat oleh pengamal profesional. Dalam masa yang sama, landskap jenayah kewangan kini semakin bergabung dengan elemen teknologi, penggunaan akaun proksi, transaksi lintas sempadan, dan ‘layering’ melalui beberapa syarikat”. “Kesan rasuah terhadap ekonomi negara bukanlah bersifat kecil atau terasing. Berdasarkan anggaran Kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), negara dianggarkan telah mengalami kerugian sebanyak RM277 bilion akibat jenayah rasuah dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2023, bersamaan purata RM55 bilion setahun satu angka yang amat membimbangkan”. “Oleh itu, integriti perakaunan tidak boleh lagi dilihat sebagai soal pematuhan semata-mata, tetapi sebagai barisan hadapan terhadap kerosakan institusi dan ancaman terhadap kedaulatan ekonomi negara”, katanya.
Metadata
| Item Type: | Monograph (Bulletin) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. UiTM, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UNSPECIFIED |
| Subjects: | L Education > LG Individual institutions > Asia > Malaysia > Universiti Teknologi MARA H Social Sciences > H Social Sciences (General) > Research |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Shah Alam > Vice Chancellor Office > Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) |
| Journal or Publication Title: | Research News: Research & Innovation UiTM |
| ISSN: | 3030-5039 |
| Keywords: | Research News, JPI, TNCPI, UiTM |
| Date: | May 2025 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/136601 |
