Abstract
Zakat berfungsi sebagai medium perantara yang penting bagi menghubungkan golongan berkemampuan dengan golongan yang memerlukan, seperti fakir dan miskin. Selain daripada bantuan asas, zakat turut disalurkan bagi bantuan pendidikan, kesihatan, dan peningkatan taraf hidup. Pengkorporatan institusi zakat di Malaysia bukan Sahaja memperkukuhkan sistem pengurusan zakat, tetapi turut meningkatkan keberkesanan hasil kutipan dan agihan yang cekap ke atas aṣnāf dalam memperkasa ekonomi umat Islam khususnya. Pengurusan zakat yang lebih moden dan cekap bukan Sahaja meningkatkan keberkesanan kutipan dan agihan, tetapi turut memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera dan harmoni. Meskipun tingkat hasil kutipan zakat dan tingkat pembangunan rakyat Malaysia mengikut negeri adalah berbeza, persoalannya adakah dengan tingkat hasil kutipan zakat pada setiap negeri mampu memberi kesan yang signifikan dan positif atau tidak terhadap Tingkat pembangunan rakyat Malaysia. Maka objektif utama yang dibentuk dalam kajian ini adalah untuk menilai kesan hubungan antara hasil kutipan zakat di Malaysia dengan tingkat pembangunan manusia berteraskan kepada petunjuk Indeks Pembangunan Rakyat Malaysia (IPRM). Sebanyak 13 buah institusi zakat di Malaysia telah dipilih sebagai sampel kajian kecuali bagi negeri Perlis berdasarkan kepada data kajian sedia ada bagi tempoh 19 tahun (2005-2023). Berdasarkan kepada teori Pembangunan manusia yang dibangunkan oleh Ul-Haq, Mahbub dengan disokong oleh teori Mannan, M. A.; Khaf, M.; Siddiqi, M. N.; Sen, A. & Becker, maka kajian ini diteruskan dengan menggunakan kaedah penganggaran data panel statik dan analisis regresi kuantil. Dapatan kajian berdasarkan kepada kedua-dua kaedah pengangaran tersebut telah menunjukkan bahawa tingkat hasil kutipan zakat di setiap negeri mampu memberi kesan yang signifikan dan positif terhadap IPRM. Dapatan kajian ke atas pembolehubah kawalan berasaskan kepada analisis panel statik telah mendapati hubungan terhadap IPRM adalah signifikan pada aras keyakinan yang berbeza-beza kecuali pembolehubah KDNK per kapita. Manakala dapatan kajian ke atas pembolehubah kawalan berasaskan kepada analisis regresi kuantil telah mendapati hubungan terhadap IPRM Adalah signifikan dan positif pada semua tahap kuantil kecuali pada tahap kuantil ke-25. Dapatan kajian ini telah menunjukkan bahawa hasil kutipan zakat mampu meningkatkan pembangunan rakyat Malaysia berasaskan kepada tiga dimensi utama iaitu kesihatan, pengetahuan dan taraf hidup yang baik dan selari dengan matlamat Maqāṣid al-Sharī‘ah. Dalam pada itu juga, dapatan kajian ini juga adalah selari dengan teras Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang berkait rapat dengan IPRM iaitu SDG 1 (Tiada Kemiskinan), di mana zakat membasmi kemiskinan melalui bantuan kewangan dan sokongan ekonomi; SDG 2 (Tiada Kelaparan), di mana zakat memastikan masyarakat miskin tidak menghadapi masalah kebuluran melalui bantuan makanan; SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik) merujuk kepada zakat yang menyokong akses kepada perkhidmatan kesihatan asas; SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) menjadikan zakat sebagai satu cara untuk menggalakkan pendidikan inklusif dan berkualiti untuk semua; dan akhir sekali SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan) di mana zakat turut berperanan untuk mengurangkan ketidaksamaan agihan pendapatan dan sumber dalam masyarakat melalui pengagihan sumber yang lebih saksama.
Metadata
| Item Type: | Thesis (PhD) |
|---|---|
| Creators: | Creators Email / ID Num. Che Hassan, Mohd Taqiyuddin UNSPECIFIED |
| Subjects: | H Social Sciences > HB Economic Theory. Demography |
| Divisions: | Universiti Teknologi MARA, Shah Alam > Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS) |
| Programme: | Doktor Falsafah Pengajian Islam Kontemporari |
| Keywords: | ACIS, pertumbuhan kutipan zakat, pembangunan rakyat Malaysia |
| Date: | 2026 |
| URI: | https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/134299 |
Download
134299.pdf
Available under License Dasar Harta Intelek UiTM (Para 6).
Download (28MB)
Digital Copy
Physical Copy
ID Number
134299
Indexing
